HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Jun 2018

Lim Guan Eng nafi abaikan bahasa kebangsaan

THE MALAYSIAN INSIGHT
Lim Guan Eng nafi abaikan bahasa kebangsaan
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bahasa Melayu masih digunakan sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan kementeriannya, sementara terjemahan ke bahasa Mandarin hanya jika ada keperluan. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau tidak pernah mengabaikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan kementeriannya, sebaliknya bahasa Inggeris dan Mandarin hanya digunakan mengikut keadaan.

Katanya, tuduhan bahawa Kementerian Kewangan sudah menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasminya adalah tidak betul dan bahasa kebangsaan itu masih diutamakan.

"Kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim dikritik keras di media sosial kerana dituduh menggunakan bahasa Mandarin untuk mengeluarkan satu kenyataan media kementeriannya.

Kritikan itu kemudian sempat disambut antaranya oleh beberapa pemimpin Umno yang dulunya menteri seperti Khairy Jamaluddin, Ismail Sabri dan bekas menteri besar Johor Khaled Nordin.

Khairy menyifatkan tindakan Lim itu memburukkan keadaan bagi orang Melayu yang merasa tercabar sejak beberapa minggu lalu, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyingkirkan Umno dan Barisan Nasional daripada kuasa.

Lim berkata beliau tidak faham kenapa terjemahan kenyataan rasmi dalam bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin dijadikan isu.

"Semua kenyataan dalam media rasmi saya di bawah kementerian sememangnya dikeluarkan dalam bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain sekiranya perlu.

"Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah dipertikaikan," katanya.

Lim berkata terjemahan bahasa Mandarin itu pun kalau ada, dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau melalui media sosial, dan tidak diguna pakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan.

Katanya, beliau juga menggunakan bahasa Mandarin untuk berkomunikasi dengan akhbar Cina.

Tiada ulasan: