MEREKA bertanya, mana baik antara muslim yang korup dengan non-muslim yang baik?
Saya jawab, buang muslim yang korup dan
pilihlah muslim yang baik. Pilihlah juga non muslim yang baik dan
letakkan mereka semua pada tempatnya yang adil.
Antara keburukan ialah paksaan untuk
memilih di antara muslim yang korup dengan non muslim yang baik.
Begitulah sebaliknya. Pilihan hanyalah di antara yang baik. Jika
terpaksa di antara dua yang mudarat dan buruk, pilihlah yang lebih
ringan di antara keduanya.
Di dunia ini, siapa pun, tiada tempat untuk mereka yang korup dan jahat kecuali turun ke bawah atau diturunkan.
Ya, muslim dan non muslim adalah
berbeza. Tetapi persamaan kekal persamaan. Keadilan adalah keadilan.
Allah tidak membezakan di antara manusia di dunia ini. Kebaikan duniawi
adalah milik bersama. Kebaikan di akhirat hanyalah milik muslim yang
beriman.
Mengapa? Kerana di sana nanti, kita
tiada lagi diberi hak usaha dan pilihan oleh-Nya sebagaimana di dunia.
Di sana adalah milik-Nya sepenuhnya. Di sana, Dia-lah yang memilih,
bukan lagi kita. Dia hanya akan memilih untuk syurga-Nya orang-orang
yang beriman kepada-Nya di dunia ini.
Justeru selamatkanlah akhirat anda
dengan menjaga hak agama Allah di dunia ini. Jagalah Allah dengan
menjaga agama-Nya. Jika tidak anda, Allah pasti memilih orang lain untuk
menjaga agama-Nya. Jika begitu, bahagian anda di akhirat nanti adalah
kemalangan dan kesesiaan.
فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85)وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (86)
"Maka mereka (kaum Musa)
berkata: Kepada Allah-lah kami bertawakkal. Wahai tuhan kami, janganlah
Engkau jadikan kami fitnah (sebab kekufuran) bagi kaum yang zalim. Dan
bebaskanlah kami dengan rahmat-Mu daripada kaum yang kufur." (Surah
Yunus: 85-86)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan