HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Jun 2018

‘Saya mahu tahu bagaimana Jamal boleh lari begitu mudah’ – Muhyiddin

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha menjejaki Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedang giat dilakukan dengan kerjasama polis Indonesia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan pemburuan polis ke atas Jamal yang didakwa telah lari ke Indonesia.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun telah memaklumkan mengenai hasrat tersebut kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia memandangkan proses itu melibatkan pihak keselamatan negara lain.

Muhyiddin berkata sepertimana warga Malaysia lain, beliau ‘tidak gembira’ dengan insiden tersebut dan sehingga kini masih tertanya-tanya mengenai kedudukan Jamal.

“Sebab itu saya minta Ketua Polis Negara melihat sendiri kes ini. Saya mahu tahu bagaimana dia boleh lari dengan begitu mudah (dari hospital) dan jika melibatkan kecuaian anggota, tindakan disiplin perlu dikenakan ke atas anggota atau pegawai polis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal kerana gagal muncul walaupun diberi masa yang mencukupi untuk menyerah diri dan bekerjasama dengan penyiasatan terhadapnya.

Jamal dilaporkan menghilangkan diri pada Jumaat lepas selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Tiada ulasan: