Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kini bertelagah dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengenai penubuhan GPS.
Naib Presiden PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah meminta PRS keluar dari gabungan jika tidak berpuas hati dengan cadangan penubuhan.
GPS turut disertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Karim mengulas komen Presiden PRS, James Masing bahawa GPS perlu dibentuk dan hala tujunya membuang jauh imej Barisan Nasional (BN).
Masing yang juga merupakan timbalan ketua menteri Sarawak berkata perlu ada perkongsian sama rata di antara semua parti komponen GPS dan ia harus distrukturkan supaya relevan kepada rakyat.
Jika tidak, GPS akan menerima nasib sama seperti BN dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 2021.
Salah satu cadangan radikalnya ialah membentuk sebuah parti berbilang kaum.
Idea Masing itu dimajukan kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg sehari sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada 12 Jun, dan ia dibantah keras oleh Timbalan Presiden PBB, Awang Tengah pada mesyuarat tersebut.
"Saya hanya mahu mencadangkan cara untuk tubuhkan GPS. Karim trus ngasuh pansut (segera minta kami keluar)," kata Masing menerusi WhatsApp hari ini.
"Dia tak mahu sebarang cadangan! Kalau beginilah yang akan berlaku dalam GPS, jadi parti yang kecil eloklah berfikir dua kali!" katanya, merujuk kepada 45 kerusi - lebih separuh - yang dipegang PBB dalam 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
PBB juga mempunyai 13 kerusi Parlimen.
Parti terbesar dalam GPS, PRS hanya mempunyai 11 kerusi dalam DUN. SUPP mempunyai tujuh, manakala PDP empat.
Parti serpihan SUPP, Parti Rakyat Bersatu (UPP) pula mempunyai lima kerusi.
Ketua Maklumat PRS, Wilfred Nissom berkata tindakan Karim itu adalah satu cubaan untuk "menutup mulut Masing".
"Saya percaya GPS belum dibentuk secara rasmi atau didaftarkan. Cadangan Masing itu adalah apa yang sepatutnya GPS kelihatan apabila secara rasmi ditubuhkan.
"Memberi cadangan bukannya bermaksud mengarah," kata Nissom mengenai dakwaan Karim bahawa "Masing tak sepatutnya mengarah" struktur dan penubuhan GPS.
"Adakah PBB menunjukkan ia 'I'm No.1'?" kata bekas setiausaha politik kepada ketua menteri itu.
Nissom juga berkata Masing membuat kenyataan terbuka dengan muslihat untuk menunjukkan sikap sebenar pemimpin PBB, seperti yang dikatakan pengundi Dayak, Phil Nicol.
"Nampak macam Karim dan Awang Tengah dah makan umpan. Terima kasih kepada respons mereka, rakyat tahu PBB cuma nak kekalkan dominasi.
"Baru kritik sikit, dah minta keluar, mentang-mentang mereka ada 45 kerusi DUN," kata Nicol.
"Saya rasa dia hanya nak menguji sama ada yang lain-lain dari sayap Pesaka dalam PBB dan parti lain yang senada dengannya," kata Nicol.
Sayap Pesaka dalam PBB merujuk kepada ahli Dayak dalam parti itu.
Pesara jurutera penerbangan itu bagaimanapun tidak percaya penjenamaan semula keempat-empat parti itu akan dapat memujuk hati pengundi Sarawak yang menolak BN pada 9 Mei lalu.
"Yang saya tahu, semua bekas (pemimpin) BN sudah tercemar. Mereka akan ulang perkara yang sama, menggunakan kuasa politik untuk kumpul kekayaan.
"Sarawak perlukan pemimpin baharu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan