Wisma Darul Iman, aku dan kenangan
AKU membesar di Kampung
Nesan Empat yang berhampiran dengan Wisma Darul Iman (WDI). Mungkin
dalam jarak hanya 700 meter sahaja. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa
tapak WDI ini dahulunya adalah pejabat-pejabat kecil Kerajaan Negeri.
Ada yang berbangunan kayu. Di sebelah Timurnya pula terdapat kuburan
lama dan perkampungan kecil Paya Bunga dan di Baratnya ialah Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Pembinaan WDI ini bermula lebih kurang
sekitar tahun 1983.Aku menyaksikan tiang-tiang cerucuk yang
ditanam ketika itu yang menggegar, membingitkan telinga, mengganggu
penumpuan kami di Sekolah Rendah Tengku Ampuan Mariam yang terletak
bersebelahan pagar WDI. Terkadang guru kami memberi amaran agar belajar
bersungguh-sungguh supaya tidak menjadi seperti buruh-buruh itu yang
bergaji murah tetapi kerjanya berat. Amaran yang sangat biasa supaya
belajar dan mendapat kerja yang baik dan gaji yang besar. Aku tersenyum
terkenangkannya.Sebelum berdirinya WDI, sorakan penonton
dari stadium, dapat didengar jelas sehingga ke kampungku. Masih lagi
aku teringat, pada tahun 1982, separuh akhir Piala Malaysia, Terengganu
menentang Pulau Pinang. Terengganu menang dan layak ke final Piala
Malaysia. Kami mendapat tahu jaringan gol Terengganu dengan hanya
mendengar sorakan penonton. Tahun 1983, ketika kerja-kerja pembinaan WDI
sedang rancak berjalan, aku pertama kali mengikut kawan masuk stadium
bagi menyaksikan Terengganu menentang Melaka yang diketuai oleh Soh Chin
Aun atau ‘Taukeh’.Penonton Terengganu tidak berpuas hati
dengan keputusan pengadil. Mereka membakar tempat duduk stadium yang
diperbuat daripada kayu dan hasilnya pertama kali aku mendapat tangisan
gas pemedih mata ole-ole dari FRU, sambil berjalan menjilat
aiskrim, jauh lebih dulu daripada otai reformasi. Lama sebelum itu, di
tempat yang sama pada tahun 1979, bas Negeri Sembilan juga menjadi
mangsa dibakar peminat. Selepas itu, suara sorakan penonton bola sepak
terhalang sampai ke kampungku dengan berdirinya WDI. Aku tidak lagi tahu
keputusan dengan mudah dan terpaksa membayar tiket untuk masuk ke
stadium atau terpaksa memanjat pagar jika tiada wang.Aku juga pernah mendengar di dalam
ceramah yang Ir Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak yang sudah
bertukar parti dari PAS kepada PAN itu memaklumkan beliau adalah salah
seorang daripada barisan jurutera yang menyumbang tenaga bagi pembinaan
WDI ini. Sekeliling WDI dahulunya adalah tanah paya yang agak luas yang
ditebus guna. Jalan-jalan seperti Tengku Ampuan Mariam, Jalan Sultan
Sulaiman dan sebahagian Jalan Kampung Kolam, dahulunya adalah tanah
berpaya yang dipenuhi tumbuhan dan hidupan liar. Ada titian menjadi
laluan kami ke sekolah, melalui rumah-rumah yang dibina bertiang tinggi
di atas air. Terdapat juga sebuah istana lama Raja yang digunakan
sebagai kilang membuat benang di situ, Istana Kolam.Adakalanya kaki-kaki kami diselaputi
selut kerana becak jalan berlumpur itu, ataupun kerana lari melihat
biawak yang sebesar XXL, memberikan kerja tambahan kepada kami kerana
perlu membasuh kasut dan melumurkan kapur, untuk memutihkannya kembali.
Berhenti bagi menangguk ikan laga, sepat dan menahan umpan tauk untuk
haruan, dalam perjalanan kami pergi dan balik sekolah adalah suatu yang
rutin. Apatah lagi ketika cuti sekolah. Perlahan-lahan seiring peredaran
masa, tanah-tanah paya itu, rumah teman-temanku kemudiannya diroboh dan
ditimbun bagi memberikan laluan kepada pembangunan, membekaskan
kenangan yang akan terpahat hingga akhir hayat.Begitulah WDI yang terbina setelah
Terengganu mendapat manfaat daripada perolehan petroleum, bangunan
tertinggi di Terengganu ketika itu, yang kita ketahui sebagai Pusat
Pentadbiran Negeri Terengganu. Aku berpeluang beberapa kali sebelum ini
memasuki WDI atas beberapa urusan, terutama urusan Sidang Dun, tetapi di
tingkat bawah sahaja. Mungkin juga WDI boleh dikatakan sebagai sasaran
kawasan penaklukkan parti politik yang agak unik jika dibandingkan
dengan kawasan pentadbiran negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.Ini berdasarkan sejarah PRU di
Semenanjung, kerajaan paling banyak bertukar tangan ialah Terengganu.
Tahun 1959 PAS menang pada PRU kali pertama tetapi jatuh selepas undi
tidak percaya terhadap Menteri Besar Haji Mohd Daud Abdul Samad dua
tahun kemudian. BN yang diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Fikri yang pernah
dituduh orang ramai sebagai MB gila kerana tidak boleh menerima idea
beliau menyuruh rakyat menanam kelapa sawit, kemudiannya menerajui
Terengganu.Bermula detik itu, Perikatan yang
kemudiannya BN, menduduki kerusi Pentadbiran Terengganu. Pernah
berkongsi kuasa sebentar antara PAS dan BN pada sekitar tahun 1974 dan
sehinggalah PAS kembali memerintah pada tahun 1999, sekali gus
menamatkan kekuasaan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Menteri Besar paling
lama ketika itu. Genap sepenggal kemudiannya, PAS terpaksa menyerahkan
kembali kuasa kepada BN selepas kekalahan dalam PRU11 yang terkenal
dengan kekotoran dan penipuan itu. Namun, kegoyahan pemerintahan BN
dapat dihidu, retak yang hanya menanti belah. Pun begitu, ia mengambil
kira-kira 14 tahun bagi BN tumbang.Kini, WDI, kembali ke genggaman PAS
setelah diberikan kembali kepercayaan oleh rakyat di PRU14 baru-baru
ini. Jelas sikap BN yang menjengkelkan rakyat, tidak hanya meletus di
Terengganu, tetapi seluruh Malaysia. PAS dengan senarai Adun-adun yang
diyakini rakyat, dengan segera melakukan kerja-kerja bagi memenuhi
janji-janji manifesto mereka. PAS tidak hiraukan pertelingkahan
peringkat nasional yang mana ada parti yang tidak mahu menunaikan
manifesto mereka, menggunakan berbagai alasan. PAS Terengganu
terkehadapan demi menjaga nama Parti Islam. PAS Terengganu mendepakan
tangan, menyambut semua rakyat dengan kasih sayang, tanpa mengira
ideologi, mencetuskan idea baharu, disamping menyambung segala idea-idea
baik kerajaan terdahulu yang elok kepada rakyat. BPMS tetap menjadi
panduan dalam pemerintahan PAS.Kini janji manifesto sudah berjalan
sebahagiannya, dan barisan Exco PAS sedang berjuang melaksanakan
keseluruhan manifesto itu. Ada yang boleh dilaksanakan segera, ada dalam
jangka masa sederhana dan ada juga dalam jangka masa panjang. Namun,
mengelak daripada tidak melaksanakannya, insyAllah itu bukan pegangan
PAS. PAS juga sebelum membentangkan manifesto ini, telah mengkaji
keupayaan untuk menunaikannya. PAS juga telah mengkaji sebelum PRU,
kekuatan sumber kewangan lain Terengganu selain daripada petroleum untuk
memerintah negeri. Ternyata, dengan bantuan pakar-pakar, PAS boleh
mengurus negeri dengan sumber yang ada itu. Di WDI inilah, bakal menjadi
saksi kepada segala kekuatan, kepakaran, kesungguhan PAS dalam membela
nasib rakyat dicurahkan. Hari ini, buat pertama kalinya aku
menaiki WDI ke tingkat yang tinggi, dengan niat bagi membantu apa yang
termampu dicurahkan oleh aku kepada Kerajaan Negeri. Tidak kira walau
dengan satu ayat penulisan atau setitik keringat mahupun sepuluh sen
derma, aku memohon agar Allah menerima seadanya bantuanku untuk negeriku
ini. Sambil aku memandang ke bawah melalui jendela, melihat kepada
kenangan silam yang tertanam bersama paya-paya itu. Sungguh masih
terbayang-bayang segalanya. Benarlah hidup ini sangat singkat tempohnya
walaupun sudah 35 tahun berlalu.Semoga Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera bersama kepimpinan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan