
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
BESUT:
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan 13,000 anggotanya
di seluruh negara kini bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang
sering berlaku pada hujung tahun.
Timbalan
Ketua Pengarah (Operasi), JBPM Datuk Amer Yusof berkata, pelbagai
persiapan telah dilakukan bagi menghadapi bencana tersebut terutama
berkaitan logistik, pelan tindakan kecemasan dan latihan kepada
anggota-anggota yang terlibat.
"Secara khususnya kita mempunyai 43 Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dengan kekuatan 530 anggota di seluruh negara.
"Kita
juga telah mengarahkan setiap negeri untuk mengadakan
sekurang-kurangnya simulasi berkaitan penyelamatan ketika banjir
sebanyak tiga kali setiap tahun," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup
Kursus Rekreasi Laut Dalam dan Keselamatan Di Air di Pulau Perhentian di
sini.
Hadir
sama Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood dan Pengarah Pejabat
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kelantan, Aidil Afizie
Daud.
Kursus
yang diadakan dengan kerjasama antara JBPM dan MOTAC Kelantan selama
tiga hari yang bermula Isnin lepas dan berakhir semalam itu turut
disertai seramai 144 peserta terdiri daripada orang awam, pengamal media
selain anggota JBPM Kelantan dan Selangor.
Dalam
perkembangan lain, Amer berkata, purata 364 kejadian lemas direkodkan
di seluruh negara sejak 2014 hingga 2017 dan merupakan satu angka yang
sangat tinggi.
"Maknanya
terdapat satu orang yang mati akibat lemas di seluruh negara pada
setiap hari dan sejak Januari hingga Ogos lepas, terdapat kira-kira 300
kes lemas dicatatkan telah berlaku.
"Kebanyakan
mangsa terdiri daripada kalangan remaja dan lokasi kejadian berlaku di
kawasan sungai dan pantai dan perkara ini boleh dielak jika mereka
mengetahui tentang risiko yang akan dihadapi jika berada di kawasan
berkenaan," katanya. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan