Tan Sri Annuar Musa mendedahkan wakil rakyat parti itu meninggalkan UMNO kerana menerima tekanan dan demi menyelamatkan perniagaan.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wakil rakyat parti itu yang bertindak keluar parti.
Annuar berkata, UMNO menghormati keputusan itu dan tidak boleh menghalang mereka daripada bertindak lompat parti.
“Ada yang keluar parti kerana kepentingan perniagaan, ada yang dalam siasatan, ada yang keluar sebab tiga hari tidak boleh tidur disiasat Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Sehingga kini lima Ahli Parlimen daripada UMNO bertindak meninggalkan parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Terbaru, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman bertindak meninggalkan UMNO.
Dalam pada itu Annuar berkata, UMNO tidak ‘mengikat’ wakil rakyatnya, namun ia bersandarkan kepada kesetiaan dan istiqamah pada perjuangan.
Oleh itu, wakil rakyat UMNO bebas untuk keluar parti meskipun ia bukan sesuatu yang menggembirakan kerana UMNO memerlukan mereka yang ikhlas dalam perjuangan.
“Sesetengah orang ada yang tidak boleh hidup tanpa pangkat, sesetengah orang ada yang tidak boleh hidup tanpa duit, sesetangahnya ada yang tidak boleh hidup bila ditekan.
“Banyak tawar menawar sedang berlaku ketika ini baik di pintu depan mahupun pintu belakang.
“Kalau saya tinggalkan UMNO, saya akan pulangkan balik kerusi yang saya menangi, kerana rakyat pilih UMNO, BN melalui saya, deposit (pilihan raya) pun UMNO bayar, lambang pun UMNO bagi, jangan lah bawa pergi harta UMNO,” katanya.
Sementara itu, Annuar turut mengesahkan yang pemimpin parti itu ada mengadakan pertemuan dengan pemimpin PPBM seperti yang tersebar sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan