Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr Hatta Ramli berkata PH tidak perlu membuang masa pegawai kerajaan turun berkempen kerana jentera politik gabungan itu sudah memadai untuk kemenangan calon.
“Saya setuju PH jangan guna jentera kerajaan dalam kempen politik. Ada cadangan supaya kementerian-kementerian turun, saya rasa tidak perlu, dulu kita tidak suka Barisan Nasional guna jentera kerajaan, kita akan laksana apa yang kita cakap.
“Dengan kempen politik semata-mata pimpinan turun atas nama peribadi mereka itu sudah mencukupi, tidak perlu buang masa pegawai dan kakitangan awam untuk bantu kita (PH),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pemupukan Perindustrian Autotech Jepun di Malaysia (Majin) di TOC Automotif Kolej.
Hatta yang juga timbalan menteri Pembangunan Usahawan bagaimanapun berkata jika pihak agensi kerajaan secara sukararela turun melakukan program di kawasan PRK, itu tidak ada masalah kerana ia bukan melalui kerahan.
“Saya pengarah pilihan raya Amanah sebagai contohnya, saya akan turun mewakili parti, kalau ada agensi kerajaan yang turun pun bukan kerana dikerah wakil parti politik PH, tetapi atas inisiatif mereka sendiri,” katanya.
Hatta berkata Amanah akan mengerahkan jentera untuk memenangkan calon PH yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Amanah akan ditempatkan di salah 1 daripada 5 DUN di bawah Parlimen Port Dickson, cuma DUN mana saya tidak boleh sebut dulu, kita akan tumpu di situ untuk tingkatkan jumlah undi kepada PH bagi mendapatkan majoriti lebih besar,” katanya.
Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada jentera kerajaan yang akan digunakan dalam kempennya di Port Dickson.
“Saya tegaskan kita tidak mahu menggunakan kemudahan dan jentera kerajaan dalam PRK. Saya akan pastikan mereka pemimpin PH dalam Kabinet datang sebagai pemimpin parti saja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan