HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 September 2018

Kajian semakan semula barangan SST diumum sebelum bajet 2019 - Lim

MALAYSIAKINI

   

Hasil kajian semakan semula senarai barangan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka diumumkan sebelum pembentangan Bajet 2019 pada November ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan telah menerima banyak maklum balas rakyat yang meminta supaya kadar cukai itu dikurangkan bagi barangan termasuk kosmetik, kamera dan tayar celup.

“Maklum balas golongan hawa menyatakan kosmetik adalah penting dan perlu. Kita hormati dan akan kurangkan (kadar cukai) kepada lima peratus (daripada 10 peratus).

“Sekiranya ia (penurunan kadar cukai) dapat menjamin kesejahteraan ekonomi rakyat, kita akan melaksanakannya,” katanya kepada Bernama.

Lim berkata sejak SST diperkenalkan semula, rata-rata harga barangan menurun dengan perbezaan 0.2 peratus berbanding harga ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sekiranya berlaku kenaikan harga, ianya (perbezaan kenaikan) adalah lebih rendah berbanding dengan GST.

"Ini kerana banyak barangan yang dikenakan cukai GST sebelum ini sebaliknya tidak lagi tertakluk dengan cukai itu seperti motosikal di bawah 250cc, lampin bayi serta tuala wanita,” katanya.
- Bernama


Tiada ulasan: