KOTA BHARU: PAS
menyifatkan tindakan Dato' Seri Mustapa Mohamed dan Dato' Seri Anifah
Aman keluar Umno bukan perkara baru selepas kekalahan Barisan Nasional
(BN) pada 9 Mei lalu.
Malah Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar
Nik Abdullah percaya langkah tersebut sebagai permulaan yang akan
diikuti oleh lebih ramai ahli serta pimpinan tertinggi Umno lain.
Beliau berkata, situasi itu disebabkan
mereka hidup dalam kemewahan selepas 60 tahun pemerintahan BN di negara
ini serta kurang pengalaman sebagai pembangkang.
"Ini mungkin proses kesudahan Umno, saya
rasa bukan Dato' Pa dengan Dato' Anifah sahaja, saya percaya ramai lagi
yang akan mengikut mereka selepas ini.
"Sebab mereka ini sudah biasa hidup
senang jadi kerajaan, dia tiada pengalaman jadi pembangkang, bila jadi
pembangkang ini sudah perit sebagaimana dirasai PAS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan beliau di Medan Ilmu
Jalan Dato' Pati di sini pagi tadi.
Mohd Amar turut menafikan tindakan pimpinan tertinggi Umno itu berpunca daripada Muktamar PAS di Terengganu baru-baru ini.
"Kami tiada apa-apa hubungan lagi antara
PAS dan Umno, cuma baru duduk sekali, minum air sekali, mengorat pun
belum, bertunang jauh sekali.
"Jadi apa yang menjadi masalahnya, tidak
tahu ke mana lagi," soal beliau kepada pemberita sekali gus menjawab
tuduhan musuh parti bahawa PAS sudah bergabung dengan Umno.
Ditanya mengenai dakwaan Pengerusi
Pakatan Harapan yang mendakwa PAS merupakan dalang perpecahan orang
Melayu, jawab beliau, PAS mempunyai sejarah yang panjang bersama Perdana
Menteri ketujuh itu sudah mengenali siapa serta tindak tanduk beliau
dalam arena politik.
"Tun Dr. Mahathir ini sifat dia suka
melawan orang, bermula zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman pun dia lawan
sampai keluar Umno, naik pentas PAS lawan Tunku.
"Zaman Pak Lah dan Najib pun begitu
juga, semua orang dia lawan, itu perangai dia, kita hendak kata macam
mana," katanya sambil menegaskan PAS terbuka kepada semua pihak. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan