HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 November 2018

PAS S’wak gesa Ketua Menteri campur tangan isu tanah Melayu dan Jatti Meirek

THE MALAYSIAN TIMES
 


MIRI: PAS Sarawak meminta Ketua Menteri Sarawak supaya segera menyelesaikan isu pemilikan tanah kepunyaan orang Melayu dan komuniti Jatti Meirek di sini yang didakwa telah hilang.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofrie Jaraiie mendakwa kedua-dua kaum itu yang tinggal di kawasan pinggir bandar Miri mewarisi tanah kepunyaan nenek moyang mereka tetapi kehilangan hak milik disebabkan status Tanah Adat Bumiputera (NCR) ditukar kepada status tanah negeri di luar pengetahuan mereka.

“Sedangkan, terdapat tanah yang diberi kepada pemaju dan syarikat perladangan untuk dimajukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jofrie berkata kerajaan negeri terutamanya Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu segera campur tangan dengan membantu untuk mengembalikan semula hak pemilikan tanah kepada komuniti yang terjejas dan tidak membiarkan tanah warisan ini jatuh ke tangan warga asing yang hanya berminat untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan nasib penduduk tempatan.

Tambahan pula, katanya, terdapat juga tanah warisan Jatti Miriek dan tanah kepunyaan Melayu di Miri yang diserahkan kepada pemaju oleh sebab status tanah warisan ditukar menjadi tanah negeri atau zon bercampur.

Beliau berkata sebagai contoh, kes membabitkan lebih 1,000 hektar tanah NCR di Pujut, Miri, yang ditukar daripada tanah NCR kepunyaan komuniti Jatti Meirek kepada tanah negeri.

“PAS telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dan bertanya pada pegawai di Jabatan Tanah dan Survei Miri mengenai status permohonan tanah yang dibuat oleh pewaris tanah Pujut, dan maklum balas yang kami terima daripada pegawai itu adalah status tanah itu telah ditukar kepada tanah negeri dan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk dibangunkan,” jelas beliau.

Beliau berkata tanah berkenaan dikatakan akan dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit, mengakibatkan ramai daripada kalangan pemilik tanah asal yang begitu marah dan kecewa.

“Kami juga dimaklumkan bahawa pertukaran status tanah itu dilakukan sebab tanah itu tidak dituntut semasa tinjauan tanah dibuat pada awal 1980-an, jadi secara automatik ia menjadi tanah negeri,” katanya.

Beliau berkata pemilik asal tanah tidak boleh dipersalahkan oleh sebab medium komunikasi yang kurang dalam tahun 1980-an untuk menghebahkan peraturan itu.–Bernama

Tiada ulasan: