Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyifatkan Pergerakan Pemuda UMNO kini umpama ‘kanibal’ yang memakan daging sesama sendiri apabila berterusan mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti.
Ahli Parlimen Padang Rengas mengingatkan Pemuda UMNO supaya mengikut resam yang diamalkan pembangkang sebelum ini tetap mendukung pemimpin mereka meskipun berdepan pertuduhan di mahkamah.
“Saya tak fahamlah dalam Pemuda UMNO ini apabila Presiden kena tuduh di mahkamah cepat sangat mendesak dah macam kanibalisme makan daging sesama sendiri.
“Dulu Lim Guan Eng ketika masih Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP didakwa dan di mahkamah tidak ada pun suruh beliau letak jawatan, begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau juga tetap Ketua Umum PKR dan PH.
“Ini adalah kesetiaan ahli-ahli parti pembangkang dulu, apa sekali pun berlaku kepada pemimpin, mereka tetap setia kepada pemimpin,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Rabu.
Tambah Setiausaha Agung BN itu lagi, tidak ada keperluan untuk Zahid berundur memandangkan beliau bukanlah penjawat awam.
“Seperti Zahid beliau tak pegang jawatan penjawat awam jadi tidak ada perlu untuk beliau berehat atau letak jawatan.
“Beliau pegang jawatan yang dipilih perwakilan jadi kalaun nak suruh turun ke apa, maka kena dapat balik daripada akar umbi mungkin juga dimulakan usul diperingkat bahagian usul untuk beliau berehat setakat mendesak saya ingat tak ada apa-apalah.
“Dalam soal begini kalau tubuh badan itu sendiri tidak merasakan bahawa nak berehat tak boleh buat apa-apa itu saja ini pandangan saya,” ujarnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Pada 25 Oktober lalu mencadangkan Ahmad Zahid supaya bercuti sementara menunggu keputusan perbicaraan rasuahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan