HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mac 2019

Gerai nasi lemak 'mahal' kena kompaun

Astro Awani, Agensi
Gerai nasi lemak 'mahal' kena kompaun
Tindakan itu diambil oleh pihak PPDNHEP WPKL apabila seorang individu memuatnaik kenyataan tidak berpuas hati apabila dikenakan caj yang terlalu mahal ketika menikmati hidangan nasi lemak berlauk di gerai berkenaan. -foto Sinar Harian
 
 
KUALA LUMPUR: Gara-gara degil untuk mempamerkan tanda harga, sebuah gerai nasi lemak di ibu negara dikenakan kompaun oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPDNHEP WPKL).

Tindakan itu diambil pihak PPDNHEP WPKL apabila seorang individu memuat naik kenyataan tidak berpuas hati apabila dikenakan caj yang terlalu mahal ketika menikmati hidangan nasi lemak berlauk di gerai berkenaan.

Dalam kenyataan rasmi di Facebook, PPDNHEP WPKL memaklumkan bahawa peniaga gerai berkenaan telah dikenakan kompaun kerana tidak mempamerkan tanda harga pada kesemua makanan dan minuman yang dijual.
–– ADVERTISEMENT ––
 
Menurut kenyataan itu, pesalah itu juga diberikan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk memberikan maklum balas berkaitan kos dan harga jualan, lapor Sinar Harian.

“Sekiranya didapati mencatut boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Selain itu, pihak PPDNHEP WPKL juga menyatakan penalti dikenakan terdiri daripada dua kategori iaitu jika suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000 dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit.

Manakala jika bukan pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, individu berkenaan menerusi laman sosialnya mendakwa dia bersama rakannya dikenakan caj sehingga RM100 untuk 20 bungkus nasi lemak, tujuh cawan teh o ais dan tiga jenis lauk. 
 
 

Tiada ulasan: