HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Mac 2019

Muhyiddin nafi dakwaan JPN diarah keluar MyKid baru bagi anak bongsu Indira

Muhyiddin Yassin (tengah) mengadakan sidang media di bilik 
gerakan utama PH bagi PRK Sementyih hari ini. Turut hadir 
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah dan 
Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir (kanan).

SEMENYIH: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan seorang bekas menteri mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sekeping lagi kad pengenalan MyKid bagi Prasana Diksa, anak bongsu guru tadika, M Indira Gandhi.

“Ketua pengarah JPN sudah menyiasat dan ternyata kenyataan itu tidak benar. Saya
bertanggungjawab dalam perkara ini dan sudah arahkan siasatan dilakukan,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Semenyih hari ini.

Pada 23 Februari lalu, ketua Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat), Arun Dorasamy dilaporkan berkata, Indira dan kumpulan itu sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap seorang bekas menteri yang didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan JPN mengeluarkan sekeping lagi MyKid untuk Prasana.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Mohammad Razin Abdullah berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ingat, jika kumpulan itu enggan memohon maaf kerana memfitnah JPN.
“Tuduhan NGO yang mencabar integriti jabatan ini secara melulu tanpa bukti kukuh dianggap cuba mencemar imej,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pindaan hanya boleh dilakukan ke atas rekod peribadi mana-mana individu berdasarkan permohonan individu atau waris yang layak.

“Jabatan ini tidak akan sesekali mengubah rekod individu sewenang-wenangnya untuk mana-mana pihak berkepentingan seperti didakwa. JPN yang memastikan pengurusan rekod pengenalan diri sahih dan terpelihara kepada penduduk Malaysia.

“Semua maklumat individu merupakan rekod rasmi kerajaan dan adalah sulit.”

Bulan lalu, Ingat yang ditubuhkan beberapa ahli persatuan sivil untuk membantu Indira mencari anak perempuannya yang hilang sejak 10 tahun lalu, menawarkan ganjaran RM10,000 untuk menjejaki bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan ketua polis negara menahan Riduan kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah menyerahkan Prasana kepada Indira.

Kanak-kanak itu berusia setahun pada 2009, semasa Riduan mengambilnya daripada Indira.

Indira juga berjaya membatalkan penukaran agama 3 anaknya oleh Riduan yang dahulu dikenali sebagai K Pathmanathan.

Tiada ulasan: