
KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama akan
membentangkan cadangan kepada Kabinet pada bulan ini untuk mengehadkan
kawasan maksimum ladang kelapa sawit kepada kira-kira 6.5 juta hektar,
meningkat daripada 5.85 juta hektar pada akhir 2018.
Menteri Teresa Kok berkata, ini dijangka dicapai pada 2023
berdasarkan purata perluasan ladang setiap tahun dari 2013 hingga 2018.
“Langkah ini dibuat bagi menangkis dakwaan bahawa perladangan kelapa sawit adalah punca penebangan hutan.
“Tetapi, bagi membolehkan ini dicapai, kami perlu
bekerjasama dengan pelbagai kerajaan negeri,” katanya semasa merasmikan
Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Minya Laurik, Persidangan dan
Pameran Prospek Harga 2019 (POC 2019), di sini, hari ini.
Kok berkata, pengusaha kelapa sawit juga perlu meningkatkan
penyelidikan dan pembangunan anak benih, serta meningkatkan
produktiviti dan hasil tuaian kelapa sawit sedia ada.
Kok berkata, kementerian juga akan mencadangkan kepada
Kabinet untuk memastikan maklumat tentang kawasan yang diletakkan di
bawah perladangan kelapa sawit diumumkan kepada awam.
“Kami perlu telus. Kami berharap Kabinet akan meluluskan cadangan ini,” katanya.
Sementara itu, Kok berkata, usaha kerajaan pada tahun ini
untuk memperluaskan program bio-diesel B10 dan B7 kepada sektor
pengangkutan dan perindustrian dijangka bakal meningkatkan penggunaan
minyak sawit sebanyak 761,000 tan setahun.
“Ini akan membantu mengurangkan simpanan stok yang begitu banyak dan menaikkan harga komoditi ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan