ISU pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir
Gudang yang menjejaskan hampir 4,000 penduduk sehingga 111 sekolah yang
diarahkan ditutup sementara masih belum selesai, kini telah timbul isu
pencemaran sisa kimia baharu di kawasan lain dalam negara kita.
Merujuk kenyataan media, baru-baru ini penduduk digemparkan dengan
penemuan pembuangan bahan buangan sisa kimia baharu di Sungai Klang,
ladang sawit Bukit Teh Bukit Mertajam, Sungai Masai Utama Taman Rinting
dan Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.
Persoalannya, sejauh manakah sistem penguatkuasaan dan pemantauan
yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam membendung pencemaran sisa
kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?
Saya menyarankan beberapa cadangan penambahbaikan kepada Kerajaan
bagi menangani tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim berulang
lagi.
i. Kerajaan digesa mengkaji semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
supaya hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas pesalah yang melakukan
pencemaran sisa kimia. Mana-mana premis industri yang melakukan
aktiviti pencemaran, kos pembersihan perlu ditanggung oleh premis
terbabit.
ii. Kerajaan perlu memantau lebih kerap kilang-kilang kimia yang
beroperasi terutamanya kawasan perindustrian dengan kawalan yang ketat.
iii. Kilang-kilang haram dengan tegas tanpa berkompromi perlu ditutup oleh pihak Kerajaan.
iv. Kerajaan perlu memastikan kilang-kilang yang beroperasi di setiap
negeri perlu menepati syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan
terutamanya pengurusan dan pelupusan sisa kimia.
v. Kerajaan perlu menyemak semula kilang-kilang kimia yang dibina
berdekatan kawasan perumahan dan sekolah. Kilang-kilang yang tidak
berada di zon industri perlu ditutup segera.
vi. Kerajaan disarankan memperkemaskan lagi sistem prosedur operasi
standard (SOP) pelupusan bahan buangan sisa kimia dan mewujudkan SOP
perpindahan segera penduduk ke tempat yang selamat.
Kerajaan perlu menggembleng tenaga bagi menangani isu ini agar negara
kita tidak dinobatkan sebagai “gudang pencemaran sisa kimia dunia” oleh
negara lain kelak seperti mana sebelum ini negara kita dikenali “gudang
sampah dunia”. Pencemaran bahan buangan sisa kimia ini perlu dibendung
awal sebelum parah.
"Islam Memimpin”
*TUAN CHE ALIAS HAMID, Ahli Parlimen Kemaman
– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan