HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Mac 2019

UM pandang serius insiden pelajar dikasari

Mohd Zaini Samsu Hadi
Lokman Noor Adam
Pemimpin UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (kiri) bergelut dengan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke selepas merampas plakad berupa gambar badut menyerupai wajah Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan Restoran Amjal, Pantai Bahru, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius insiden pelajarnya yang didakwa diserang oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian yang berlaku semalam.

Menerusi kenyataan pejabat komunikasi korporat UM memaklumkan, pihak universiti prihatin terhadap isu keselamatan membabitkan mahasiswa di dalam dan luar kampus.

“Seramai enam orang pelajar UM disahkan terlibat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“UM secara konsisten memberikan kebebasan kepada para pelajar menyuarakan pandangan dan menentukan idealisme masing-masing dalam mengutarakan isu berkaitan mahasiswa, sosial, ekonomi mahupun politik dalam ruang lingkup undang-undang dan peraturan yang diwartakan di negara ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihak universiti mengakui peranan mahasiswa membangunkan negara melalui penglibatan dan penyertaan aktif dalam aktiviti politik kepartian.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut menuntut teladan yang baik dari ahli dan aktivis politik bagi membentuk aktivisme mahasiswa menjadi lebih sihat agar budaya politik matang dapat diwujudkan.

Dalam pada itu tambah kenyataan itu lagi, UM tidak menyokong mana-mana tindakan provokasi lisan mahupun visual sama ada oleh pelajar mahupun kumpulan tertentu memandangkan masyarakat Malaysia menuju ke arah masyarakat madani yang penuh dengan kesantunan dan kesusilaan.

“UM akan terus mengalukan wacana pertukaran idea dan pandangan dalam usaha kami mendidik serta mengeluarkan intelektual yang berwibawa serta pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian negara ini.

“Diharap setiap anggota masyarakat bersama-sama dengan pihak universiti dalam menjayakan usaha mendidik mahasiswa negara ini ke arah masyarakat bertamadun yang mana semua isu diselesaikan dengan aman tanpa sebarang kekerasan,” ujarnya kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam telah bertindak mengasari pelajar UM di hadapan Restoran Amjal berhampiran Universiti Malaya (UM).

Lokman telah bertindak mengoyak plakad yang dipegang pelajar tersebut kerana ia adalah gambar pemimpin UMNO yang dikaitkan dalam isu skandal 1MDB. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: