HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Mac 2019

Wisma Putra sahkah Haziq terkorban

MALAYSIAKINI

    Kementerian Luar hari ini mengesahkan seorang remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, meninggal dunia dalam serangan pengganas di Christchurch pada Jumaat lalu.

Dia adalah seorang daripada 50 mangsa yang maut dalam serangan ganas tersebut.

Turut menjadi mangsa peluru lelaki warga Australia itu ialah bapanya Mohd Tarmizi Shuib, serta dua lagi rakyat Malaysia - Rahimi Ahmad, 39, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46.

"Dengan rasa sedih dan selepas mendapat kebenaran daripada pihak keluarga Kementerian Luar mengesahkan Muhammad Haziq, adalah salah seorang mangsa yang terbunuh dalam kejadian tragik di Christchurch," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut kenyataan itu lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof akan berlepas ke Christchurch sebagai wakil kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas dengan kejadian berkenaan.

Kata Wisma Putra kerajaan akan membantu proses pengebumian Muhammad Haziq.

"Kementerian Luar berharap orang awam dan media dapat menghormati perasaan anggota keluarga yang terlibat dalam tempoh yang sukar ini," kata kenyataan tersebut.

Tiada ulasan: