Pengundi jangan lupa, wujud pemimpin derhaka pada institusi diraja
JOHOR BAHRU – Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menggesa pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) menolak calon-calon atau parti politik yang membawa ideologi berbentuk ekstrem dan liberal.
Presidennya, Md Salleheen Mohamad berkata, pihaknya menyeru kepada para pengundi terutama golongan belia Johor agar bijak memilih parti yang akan memimpin negeri tersebut.
“Jangan kita pilih parti membawa ideologi liberal yang ekstrem bertapak di negeri Johor. Belia Johor adalah belia yang berakhlak terpuji, taat pada agama, taat kepada raja dan sayang akan negeri ini.
“Kita tidak boleh menyokong parti berlandaskan liberal yang ekstrem, tiada budi bahasa dan bertindak sesuatu di luar batasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, gesaan itu dibuat kerana PRN Johor kali ini dilihat luar biasa serta melibatkan pelbagai parti politik sama ada yang lama mahupun baharu.
Pada masa sama, Md Salleheen menasihatkan agar tidak lupa akan wujudnya golongan pemimpin yang derhaka kepada institusi diraja, minum arak secara terbuka, menyokong budaya seks bebas dan perbuatan songsang lain.
“Pemimpin dan parti seperti itu perlu ditolak untuk terus berada di bumi Johor.
“Kita perlu sentiasa mempunyai akhlak yang terpuji dan tidak melanggar sebarang batas yang ditetapkan agama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan