HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Januari 2008

Bahaya cabar pembangkang boikot pilihan raya.
Oleh SA'ODAH ELIAS.


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS hari ini menyifatkan tindakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mencabar parti-parti pembangkang memulaukan pilihan raya umum akan datang baru-baru ini, sebagai sangat berbahaya dan berpotensi mengheret negara ke arah kucar-kacir seperti yang berlaku di Pakistan.

Ketuanya Salahuddin Ayub berkata kemungkinan negara menjadi huru-hara besar jika parti-parti pembangkang benar-benar memulaukan pilihan raya umum seperti yang disaran Abdul Rashid kerana rakyat yang tidak diberikan peluang membuat pilihan pasti akan mencari jalan lain untuk melepaskan kemarahan mereka.

Katanya, keadaan kucar-kacir dan huru-hara boleh timbul jika rakyat tidak diberikan ruang kebabasan untuk membuat pilihan dan jika amalan demokrasi disempitkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabatnya Salahuddin juga menyifatkan Abdul Rashid sebagai seorang yang mempunyai lidah bercabang kerana didakwa kerap memberikan kenyataan-kenyataan yang berbeza-beza.

Ditanya mengapa PAS, seperti juga parti-parti pembangkang lain dilihat terlalu kerap mengkritik Abdul Rashid, Salahuddin berkata:

"Jika kita lihat sejarah SPR, belum pernah ada pengerusinya yang terang-terang bersikap berat sebelah seperti Abdul Rashid. Beliau bukan sahaja bersekongkol dengan kerajaan Barisan Nasional, malah membenarkan suruhanjaya itu yang sepatutnya bersifat bebas dipergunakan oleh parti memerintah."

Sehubungan itu Salahuddin sekali lagi mengajak Abdul Rashid berdebat secara intelektual dengan parti-parti pembangkang bagi mempertahankan pendirianya yang kerap dinyatanya melalui media bahawa pilihan raya di negara ini bersih, bebas dan adil.

Beliau pertama kali mengemukakan cabaran itu terhadap Abdul Rashid pada akhir 2006.
Ditanya sama ada PAS bersedia untuk menyambut cabaran Abdul Rashid dengan memulaukan pilihan raya umum ke-12 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Salahuddin berkata parti itu masih yakin dengan sistem yang ada, tetapi mahu supaya ia dibersihkan bagi memastikan keadilan untuk semua pihak.

Kenyataan beliau itu bertentangan dengan pendirian yang disuarakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam, yang berkata parti itu bersedia berbuat demikian jika semua parti pembangkang bersetuju.

Parti itu, tambah Salahuddin, mempunyai keyakinan tinggi akan dapat memperbaiki pencapaiannya kali ini setelah mengalami kemerosotan yang agak teruk pada pilihan raya ke-11 pada 2004.

Beliau mendakwa sokongan pada parti itu daripada golongan muda kini semakin dirasai, lebih-lebih lagi berikutan perhimpunan yang dianjurkan Bersih pada 10 November lalu yang telah membuka mata ramai orang mengenai kepincangan proses pilihan raya di negara ini.

Mengulas rakaman DVD perlakuan seks membabitkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga naib presiden MCA yang kini tersebar di beberapa tempat, Salahuddin berkata pihaknya sedikitpun tidak terkejut kerana ia bukan pertama kali berlaku.

Beliau yakin ia adalah satu konspirasi membabitkan pihak yang berkepentingan politik sama seperti pemimpin MCA itu sendiri dan tidak langsung melibatkan parti-parti pembangkang.

"Bukan budaya kita (parti pembangkang) untuk buat rakaman dalam bilik hotel orang," tegasnya.

Tiada ulasan: