Krisis minyak masak: Restoran jangka harga makanan naik 20%.
Kuala Lumpur : Beberapa restoran di sini menjangkakan kenaikan dalam harga makanan sehingga 20 peratus sekiranya masalah kekurangan bekalan minyak masak kelapa sawit yang dihadapi di Malaysia gagal diatasi, menurut laporan akhbar semalam.
Malah, bagi memastikan negara itu mempunyai bekalan minyak masak yang mencukupi, Jabatan Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna di Johor juga mengharamkan pembelian minyak masak oleh warga Singapura, tambah laporan tersebut.
'Kami telah mengarahkan pasar raya dan kedai untuk menunjukkan papan isyarat yang mengatakan bahawa minyak masak kelapa sawit yang diberikan subsidi itu hanya untuk rakyat Malaysia.
'Namun, warga Singapura masih dibenarkan membeli minyak jenis lain,' jelas pengarah penguat kuasanya, Fahmi Kassim, dalam laporan akhbar The New Straits Times (NST) semalam.
Laporan NST juga memetik presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Miroa), Datuk R. Ramalingam Pillai, sebagai berkata bahawa 1,500 anggotanya telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai masalah kekurangan minyak masak itu.
'Kami dijejas teruk oleh masalah ini kerana ramai yang tidak dapat bekalan minyak masak seberat 17 kilogram bagi restoran atau kedai mereka,' katanya dalam laporan itu.
Beliau menambah bahawa para pemilik restoran telah menerima bekalan minyak masak komersial mereka dalam pakej seberat 17 kilogram itu menerusi pembekal tertentu dan tidak terjejas oleh had berat 5 kilogram yang dikenakan ke atas pengguna.
'Memandangkan suasana tersebut, beberapa restoran terpaksa menggunakan minyak masak yang mahal, termasuklah minyak jagung dan minyak biji bunga matahari, mengakibatkan kenaikan dalam kos operasi tambahan sebanyak 20 peratus,' jelas beliau.
Ini memberi tekanan kepada mereka untuk turut menaikkan harga makanan mereka sehingga 20 peratus, ujarnya lagi. BHS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan