HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Januari 2008

Polis: Kunci motosikal tak selamat, mudah dicuri.



KANGAR: Polis menasihatkan pemilik motosikal di daerah ini supaya jangan terlalu berkira untuk memasang kunci tambahan yang hanya berharga tidak sampai RM30, sehingga motosikal mereka mudah dicuri.

Ketua Polis Daerah, Supt Yusof Mohd Diah hari ini berkata akibat sayang untuk berbelanja RM30, 325 motosikal bernilai hampir RM1 juta dicuri di daerah ini tahun lepas.

"Kebanyakan kecurian melibatkan motosikal yang tidak dipasang dengan kunci tambahan. Motosikal yang menggunakan kunci asas atau 'kunci tengkok' mudah dicuri dalam masa beberapa minit sahaja," katanya kepada pemberita di di Balai Polis Kuala Perlis hari ini.

Beliau berkata pada 2006 di daerah ini sahaja 349 motosikal bernilai lebih RM1 juta dilaporkan hilang, dan menurutnya walaupun kes kecurian turun 24 kes, jumlah itu dianggap masih tinggi.

Katanya oleh itu polis turut mengambil tindakan menyaman pemilik motosikal yang cuai, termasuk mereka yang meninggalkan kenderaan tanpa dikunci, malah ada yang meninggalkan kunci di motosikal mereka.

Yusof berkata tahun lalu kira-kira 300 saman dikeluarkan kepada pemilik motosikal kerana cuai.

Katanya Sabtu lepas lima pemuda berumur antara 15 dan 18 tahun ditahan di Kampung Surau Utan Aji kerana disyaki terbabit dalam kes-kes kecurian motosikal di Perlis.

Katanya hasil maklumat orang ramai, polis menyerbu sebuah premis di kampung itu pada pukul 4 pagi dan merampas dua buah motosikal serta komponen-komponen motosikal yang diceraikan yang dipercayai untuk dijual, sebelum polis menahan kelima-lima remaja itu. BERNAMA

Tiada ulasan: