Skandal DVD Lucah dan tawaran turun harga minyak Anwar sindir Najib.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kes skandal seks bekas Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek yang terdedah berikutan pengedaran DVD lucah menyebabkan pemimpin utama negara 'bingung' selain terpaksa menjawab persoalan-persoalan moral yang mula dipertikai rakyat.
Khidmat HarakahDaily.Net melalui wap ditutup sementara untuk kerja-kerja penyelengaraan. Harap Maklum.
Pimpinan NGO dan pelbagai parti pembangkang mula mempersoalkan perlakuan moral kepimpinan negara memandangkan kes Soi Lek ini menjadi 'signal' kepada kes-kes yang mungkin membabitkan pemimpin lain.
Ia boleh dilihat dengan amaran Soi Lek berhubung adanya skandal membabitkan pemimpin lain yang tidak mahu disebutnya selain nada 'peringatan' yang dikeluarkan bekas Pengerusi BBC, Dato' Ruhanie Ahmad (Ron) mengenai terdapatnya kemungkinan DVD lain seorang pemimpin di Pahang yang akan tersebar.
Cuma ia tidak terdedah seperti mana bekas Naib Presiden MCA ini menghadapi hari malangnya setelah dilihat sebagai pemimpin 'tidak bermoral' kerana DVD lucah yang tersebar dan pengakuannya terbabit.
Antara pemimpin utama negara yang bertalu-talu menjawab persoalan moral ini ialah, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang turut memberi peringatan kepada pemimpin kerajaan yang lain agar tidak terbabit.
Maknanya tiada skandal, rasuah atau tindas rakyat
Mengulas kenyataan Najib itu, musuh ketatnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyindir pendekatan Najib memberi nasihat kepada semua pemimpin Umno-BN untuk menjaga disiplin.
"Nasihat yang baik!Maknanya, jangan ada skandal, rasuah, atau menindas rakyat," kata Anwar sinis.
Anwar juga turut menyindir Najib yang mempertikai pengumuman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu untuk menurunkan harga minyak sebagai tawaran kepada rakyat jika memberi mandat kepada Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya akan datang.
Najib dengan nada marah dan bingung menyatakan antara lain penurunan harga minyak seperti yang ditawar Anwar dan BA menyebabkan negara bankrap.
"Jawapannya: untung bersih dari eksport minyak mencecah RM80 bilion. Seandainya diturunkan harga, masih mengekalkan untung sekitar RM70 bilion," katanya.
Negara bankrap kerana borosnya pemimpin, rasuah, komisyen termasuk kapal selam dan jet pejuang, katanya sinis.
Nasihat umpama 'ketam mengajar anak berjalan'
Mengulas kenyataan Najib itu juga, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dalam satu komentarnya yang tersiar dalam akhbar versi internet memperlekeh kenyataan Najib yang juga Timbalan Presiden Umno.
Kit Siang mempersoalkan sama ada Timbalan Perdana Menteri 'orang yang sesuai' untuk menasihatkan pemimpin BN yang lain supaya mengamalkan nilai-nilai yang baik, berdisiplin tinggi dan menjaga tingkah laku mereka.
"Apakah Najib telah memberi contoh yang baik dalam karier politiknya untuk melayakkan beliau memberi nasihat dan ingatan seumpama itu?
Kit Siang secara sinis berkata, "atau nasihat Najib itu umpama 'bapa ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul?" soal Lim lagi.
Skandal Altantuya
Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ada menyatakan bahawa skandal seks membabitkan Soi Lek ini 'mungkin' sekali sama seperti skandal yang membabitkan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang masih dibicarakan di mahkamah.
Mahfuz ketika mula mengulas isu DVD lucah membabitkan Soi Lek berkata, perbezaan dalam kes DVD lucah ini cuma tiadanya adegan pembunuhan, sebaliknya terdedah dengan rakaman aksi Soi Lek bersama seorang wanita yang dikatakan rakan karib bekas Naib Presiden MCA itu.
Mahfuz juga menyebut supaya siasatan menyeluruh dilakukan polis ke atas wanita yang terbabit dengan aksi lucah bersama Soi Lek itu, selain tujuan di sebalik adegan itu dirakam dan diedarkan.
Pada 2 Januari lalu Naib Presiden MCA mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan dalam parti serta anggota Parlimen Labis, berkuatkuasa serta-merta.
Peletakan jawatan itu dibuat berikutan desakan rakyat setelah bekas Menteri Kesihatan itu mengaku terbabit dalam DVD lucah bersama seorang wanita muda yang dikatakan rakan karibnya.
Polis kini mula menyiasat dalang penyebaran DVD itu selain pihak yang merakam aksi lucah Soi Lek.Sehingga semalam, polis dikatakan telah mengenalpasti identiti wanita dalam DVD tersebut. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan