HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Januari 2008

Sembilan gempa bumi di Pahang disiasat.



PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan bekerjasama untuk menyiasat beberapa siri gempa bumi kecil yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi, Pahang sejak akhir November lepas.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Kong Cho Ha berkata kedua-dua jabatan itu akan cuba mengumpul maklumat mengenai punca kejadian tersebut.

"Kita akan meletakkan satu alat penyukat bagi mengkaji punca dan berharap dapat mempelajari sebanyak mungkin berhubung gempa bumi itu," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai Ringkasan Cuaca Tahun 2007 dan Tinjauan Cuaca Awal Januari 2008 di Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini.

Taklimat itu disampaikan ketua pengarah Jabatan Meteorologi Dr Yap Kok Seng.

Kong berkata hasil maklumat sedia ada, gempa bumi itu tidak berbahaya dan jika berlaku pun tidak akan melepasi paras 3.0 pada skala Richter.

Gempa bumi yang pertama di kawasan itu dikesan pada 30 Nov lepas pada pukul 10.13 pagi berukuran 3.5 pada skala Richter.

Selepas itu beberapa siri gegaran dirasai penduduk kawasan tersebut sehingga yang terakhir iaitu yang kesembilan pada Isnin lepas berukuran magnitud 2.5.

Ditanya mengenai tinjauan cuaca bagi Januari hingga Mac tahun ini, Kong berkata Semenanjung Malaysia dan Sabah dijangka menerima lebih banyak hujan dari paras normal bagi tempoh itu.

"Ini mungkin menyebabkan lebih banyak kejadian banjir kilat dan kawasan rendah ditenggelami," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: