'Parti Mahasiswa' turut mahu bertanding dalam pilihanraya.
Intan Abdullah.
PUTRAJAYA (Hrkh) - Belum pun mendapat pengesahan daripada pihak pendaftar persatuan, Parti Mahasiswa Negara (PMN) masih tetap dengan pendirian mereka untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Koordinator PMN, Azlan Zainal ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di perkarangan Pejabat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Putrajaya pagi tadi menyatakan bahawa parti tersebut akan meneruskan hasratnya untuk turut sama menyertai pilihan raya umum ke-12 meskipun berhadapan dengan tindakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
"Bagi kami, Auku tiada dalam kamus perjuangan kami kerana kami tidak bersetuju dengan perlaksanaan Auku selama ini," katanya kepada pemberita.
Menjawab soalan yang diajukan mengenai desas-desus yang menyatakan bahawa parti tersebut ditaja oleh BN mahupun pembangkang, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
"Bahkan Timbalan Presiden Umno sendiri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa Umno-BN tidak mempunyai perkaitan dengan PMN, apatah lagi untuk menaja calon PMN dalam pilihan raya nanti. Begitu juga dengan mana-mana parti pembangkang yang lain," jelasnya.
Selain itu, Azlan turut menjelaskan sekiranya pihak pendaftar pertubuhan menolak permohonan mereka sebagai sebuah parti politik, PMN akan meneruskan perjuangan mereka berdasarkan apa yang telah dirancangkan.
PMN yang telah mengumumkan hasrat mereka untuk menyertai pilihanraya umum ke-12 akan datang hari ini menghantar permohonan mereka untuk mendaftarkan parti tersebut kepada Pejabat Pendaftaran Persatuan, Putrajaya.
"PMN muncul hasil resolusi beberapa front mahasiswa yang yakin untuk sama-sama menyertai pilihan raya umum akan datang di samping mahu menyuarakan pandangan kami terus dapat didengar oleh masyarakat dan pemimpin negara," ujarnya.
Jelasnya, dengan keahlian seramai 2,000 orang, PMN dengan ideologi mereka untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada rakyat berhubung isu-isu yang berlaku dalam negara menjelaskan bahawa penubuhannya bertujuan mencabar serta menunjukkan kepincangan dalam sistem politik dan demokrasi negara.
"Ini kerana tidak ada 'check and balance' atau semak dan seimbang dalam perlaksanaan sesuatu projek yang dibuat oleh kerajaan apatah lagi ia bersifat 'bias' kepada kepentingan sesetengah pihak sahaja tanpa mengambil kira kesannya kepada rakyat secara keseluruhan," tegasnya.
Malah tegasnya lagi, PMN akan tetap bertanding meskipun pelbagai pihak berasa sangsi dengan kemampuan PMN untuk berhadapan dengan parti-parti politik 'gergasi' lain yang lebih berpengaruh serta berpengalaman dalam pentas politik tanah air.
"Kami akan bertanding. Soal mendapatkan dana untuk menyempurnakan hasrat tersebut nanti kita akan sama-sama tunggu dan lihat," ujar Azlan.
Sementara itu, PMN yang turut disokong oleh beberapa 'front' mahasiwa lain seperti SMM, Dema, Umany, JKMI serta Gamis turut menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang bukanlah suatu gimik.
Menurut Pengerusi SMM, Syeikh Omar Ali, beliau memandang tindakan PMN adalah sebagai suatu perkara yang positif serta tepat pada masanya untuk memenuhi aspirasi mahasiswa bersama rakyat.
"SMM menyokong penuh tindakan berani PMN yang membuktikan bahawa mahasiswa serius serta bersedia untuk menghadapi masyarakat dalam medan tempur yang sebenar," ringkasnya.
Selain itu, wakil Dema, Huat Seng pula mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada PMN yang menunjukkan bahawa mahasiswa kini telah bangkit untuk memperjuangkan masalah dan isu rakyat.
Kira-kira 50 mahasiswa berkumpul di hadapan pejabat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi menyerahkan borang permohonan pendaftaran PMN serta mengadakan sidang media mengenai tindakan media itu.
Sidang yang berlangsung kira-kira sejam itu berakhir dengan kekecohan apabila seorang pegawai keselamatan mendekati Presiden PMN, Azlan Zainal untuk disoal siasat mengenai penganjuran sidang tersebut yang disifatkan beliau sebagai perhimpunan yang tidak mendapat permit.
Bagaimanapun, situasi tersebut berjaya dikawal dengan baik dengan penjelasan dan perbincangan oleh PMN serta pegawai keselamatan terbabit.
Pada 7 Januari lalu, PMN telah mengadakan suatu sidang akhbar berhubung penubuhan parti tersebut kepada umum di Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya.
Sungguhpun begitu, mereka masih belum mendapat sebarang maklum balas mengenai kelulusan permohonan penubuhan persatuan tersebut yang telah dibuat sebelum ini di pejabat Pendaftaran Persatuan Wilayah Persekutuan. - mr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan