HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Januari 2008

Penangguhan projek landasan berkembar bazirkan RM4.5 bilion wang rakyat.
Roy Rasul.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, Pemuda PAS memandang serius kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat unjuran positif dalam menangguhkan projek Landasan Berkembar Ipoh - Padang Besar pada Disember 2003 yang menyebabkan pembaziran sebanyak RM4,485 bilion.

Katanya, kerajaan BN sebelum ini sanggup membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan subsidi sebanyak RM4 bilion.

"Pemuda PAS menyokong projek untuk mengiktirafkan landasan keretapi sepanjang 329 km dari Ipoh ke Padang Besar untuk pembangunan negara.

"Tetapi pemuda PAS menolak pendekatan pembangunan yang tidak berhemah yang membazirkan wang rakyat," katanya.

Beliau berkata, walaupun projek tersebut dilaksanakan oleh Gamuda - MMC, tetapi ia adalah projek kerajaan yang pada awalnya bernilai RM8 bilion tetapi ekoran penangguhan oleh Perdana Menteri pada akhir 2003.

Projek itu katanya, sekarang bernilai RM12,485 bilion dalam kata lain projek itu ditangguh tanpa kajian dan unjuran masa depan.

Katanya, RM4.485 bilion bukan satu jumlah kecil bahkan jika berulang boleh menyebabkan negara bankrap.

"Mengapa apabila menanggung subsidi minyak untuk rakyat kita bimbang akan kebankrapan tetapi bila dibazirkan kita berdiam diri," katanya.

Katanya,projek itu dahulu ditangguhkan dengan alasan untuk memberi tumpuan kepada projek pembangunan yang lain.

Sekarang ini katanya, projek tersebut dilaksanakan semula atas alasan untuk menyokong projek Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER).

Menurutnya, projek tersebut adalah sebahagian daripada rangkaian Keretapi Rentas Asia yang menghubung Singapura-Kunming di China.

"Pemuda PAS melihat Kerajaan BN terpaksa mengadakan projek tersebut untuk mempengaruhi Singapura menyokong pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

"Kerajaan BN melakukan apa saja demi kepentingan Singapura sejak kebelakangan ini termasuk menggadai kedaulatan WPI," dakwanya.

Namun katanya, apabila kerajaan PAS Kelantan mencadangkan supaya landasan keretapi Timur - Barat menghubung Kelantan dengan Pulau Pinang dahulu kerajaan BN menolaknya pula.

Walhal katanya, projek tersebut bukan saja membangunkan NCER tetapi ECER juga.
Ini dakwanya, kepentingan rakyat Kelantan tidak ada dalam hati pemimpin BN maka cadangan itu ditolak.

"Dalam masa sama mereka memberati projek yang menguntungkan Singapura bak kata pepatah, kera dihutan disusukan, anak diriba dibiarkan kelaparan," katanya. - mr

Tiada ulasan: