HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Februari 2008

"13 hari mencukupi, peti lutsinar dan dakwat jari tetap diguna" Rashid
Oleh Bernama


PUTRAJAYA: Tempoh berkempen selama 13 hari pada pilihan raya umum kali ini adalah mencukupi untuk semua pihak, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata SPR turut mengambil kira aspek keselamatan dan ketenteraman awam dalam menentukan tempoh berkempen itu, sambil menambah terdapat 30 parti politik berdaftar setakat ini.

"Kalau kita nak panjangkan tempoh berkempen, negara kita ini banyak perkara sensitif yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian di pejabatnya di sini.

Seramai 10,922,139 pemilih termasuk 221,085 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini bagi memilih wakil rakyat di semua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara kecuali kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak. Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya akan tamat pada 2011.

Penamaan calon ditetapkan pada 24 Feb dan pengundian pada 8 Mac, menjadikan tempoh berkempen 13 hari berbanding lapan hari sahaja pada pilihan raya umum lalu pada 2004.

Abdul Rashid berkata terdapat pertambahan kira-kira 600,000 pengundi pada pilihan raya kali ini berbanding dengan 10.3 juta pengundi pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata SPR telah dimaklumkan secara rasmi oleh Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan untuk membubar Parlimen semalam.

SPR juga telah menerima pengisytiharaan pembubaran 12 Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak, katanya.

Sehubungan itu, SPR telah bermesyuarat hari ini untuk menetapkan tarikh-tarikh bagi menjalankan pilihan raya umum ke-12 dalam tempoh 60 hari sebagaimana yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan Perkara 55(4), katanya.

Beliau berkata SPR menetapkan tarikh writ pilihan raya dikeluarkan kepada kesemua pegawai pengurus pilihan raya di 222 kawasan Parlimen esok manakala notis pilihan raya dikeluarkan pada Sabtu ini.

Abdul Rashid berharap lebih 75 peratus pengundi melaksanakan hak dan kebebasan mereka untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan pada pilihan raya kali ini, tambahan pula pengundian kali ini diadakan pada Sabtu sebelum cuti sekolah bermula.

Beliau berharap pilihan raya itu dapat dijalankan secara bebas dan adil dengan mengambil kira faktor keselamatan.

Kita nak terus pertahankan rekod pilihan raya diadakan secara aman dan damai di negara ini seperti yang dicapai pada 11 pilihan raya umum lalu," katanya.

SPR, katanya akan membelanjakan RM200 juta bagi melaksanakan pilihan raya umum kali ini dan terdapat 149,000 kakitangan pilihan raya serta 50,000 kakitangan kasual termasuk juruterbang helikopter dan jurumudi bot, terlibat menjayakan tugas itu.

Penggunaan peti undi lutsinar, dakwat jari pengundi dan ketiadaan nombor siri pengundi pada kertas undi seperti yang diumumkan sebelum ini akan dilaksanakan pada pilihan raya umum ini, katanya.

Abdul Rashid berkata kerahsiaan undi terus terjamin dengan ketiadaan nombor siri pengundi pada kertas undi seperti yang dilaksanakan sewaktu pilihan raya Sarawak pada 2006.

"Tiada siapa tahu anda undi siapa," katanya.

Beliau berkata tiada pemerhati pilihan raya dari luar negeri dijemput untuk memerhatikan proses pilihan raya umum kerana SPR tidak mempunyai kuasa untuk memberi akreditasi kepada mereka.

Mengenai dakwaan terdapat pengundi hantu, Abdul Rashid berkata: "Mustahil mereka yang tidak tersenarai dalam Daftar Pemilih boleh mengundi. Kalau ada dakwaan, kemukakan bukti dan kita akan siasat. Setakat ini, tiada pengundi hantu".

Beliau berkata garis panduan mengenai bahan kempen akan dikeluarkan SPR tidak lama lagi.

Pengerusi SPR itu meminta parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu-individu yang terlibat dalam pilihan raya umum nanti mematuhi undang-undang dan prosedur-prosedur pengurusan pilihan raya serta tatasusila berkempen yang telah ditetapkan dan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: