Eksklusif:
Di mana pemimpin utama PKR akan bertanding?
Oleh Wartawan KLpos.com
SELEPAS merisik melalui berbagai sumber, KLpos.com diberikan senarai '95 peratus jadi', yang antara lain mendedahkan di manakah pemimpin-pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding. Yang pasti, dari senarai tersebut, orang nombor dua dalam PKR, Dr Syed Husin Ali dikatakan tiada dalam senarai calon-calon PKR. Khabarnya Dr Syed Husin sendiri enggan menerima pencalonan. Dari senarai itu, hanya tiga pemimpin utama PKR yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mereka ialah Bendahari Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim yang akan bertanding di Parlimen Kapar serta mencuba nasib sekali lagi di kerusi DUN Ijok. Khalid, bekas Pengerusi PNB sebelum ini tewas dalam pilihanraya kecil Ijok pertengahan tahun lalu.
Selain itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dikatakan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak dan akan kembali bertanding di DUN Hulu Kelang.
Azmin yang juga merupakan Pengarah Pilihanraya PKR menang di DUN Hulu Kelang pada dalam pilihanraya ke 10, sebelum tidak dibenarkan bertanding (kerana kes mahkamah) dalam pilihanraya ke 11.
Selain Khalid dan Azmin, seorang lagi pemimpin utama PKR yang khabarnya akan bertanding di DUN dan Parlimen adalah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
"Tian Chua akan bertanding di Parlimen Batu manakala Dun Bacang di Melaka," kata sumber terbabit.
Bagaimanapun, katanya, calon DUN Bacang belum diputuskan secara muktamad lagi kerana ada pertindihan dengan DAP.
Manakala, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution akan bertanding di Parlimen Machang, Kelantan. Bekas ADUN Lunas itu sudah empat tahun menetap dan berkerja di Kelantan.
Bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh akan bertanding di Kuantan, manakala seorang lagi Naib Presiden parti itu, Sivarasa Rasiah dijangka bertanding di Parlimen Subang menentang Naib Presiden MIC Tan Sri Dato’ K. S. Nijhar.
"Peluang Sivarasa amat cerah untuk menang di situ," kata sumber. Siva, seorang peguam, sebelum ini bertanding di Parlimen Petaling Jaya Selatan.
Bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar, akan kembali mencuba nasib di parlimen Bukit Katil Melaka. Pengerusi PKR Melaka itu khabarnya akan menentang setiausaha politik Menteri Kewangan kedua Datuk Norza Zakaria.
"Jika Tian Chua bertanding di DUN Bacang yang terletak di bawah parlimen Bukit Katil, Khalid dijangka akan mendapat undi kaum Cina yang pada tahun 2004 mengundi BN," kata sumber.
"Apa yang perlu Khalid lakukan adalah memperolehi undi Melayu di kawasan tersebut," katanya.
Manakala, dua lagi Naib Presiden PKR, Mustapha Kamil Ayub dan Dr Lee Boon Chai akan bertanding di Perak dalam pilihanraya kali ini.
Mustapha akan bertanding di Parlimen Pasir Salak manakala Dr Lee Boon Chai akan bertanding di parlimen Gopeng.
Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar pula dijangka bertanding di Parlimen Jasin, Melaka.
Selain itu, Presiden parti Sosialis Malaysia Dr Nasir Hashim akan bertanding menggunakan tiket PKR di DUN Kota Damansara Selangor. Pada pilihanraya yang lalu beliau turut bertanding di Kota Damansara tetapi tewas dengan exco kerajaan Selangor Datuk Mokhtar Dahalan.
Manakala, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Zaharin Hashim pula dijangka bertanding di Parlimen Bayan Baru.
Sementara itu, bekas ahli Parlimen DAP Nibang Tebal Goh Kheng Huat dijangka akan bertanding sebagai calon PKR di Parlimen Tambun, Perak.
Akhirnya, Presiden PKR Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap bertanding di Parmatang Pauh, manakala anak sulungnya Nurul Izzah Anwar, berminat untuk bertanding di Lembah Pantai atau Wangsa Maju. Tapi menurut sumber, sehingga kini masih belum ada kata putus dari pucuk pimpinan PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan