Profil YB dikemas kini
Oleh Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengarahkan semua pejabat cawangannya mengemas kini rekod profil setiap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai persediaan membantu parti politik memilih calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12.
Sumber memberitahu Berita Harian, arahan itu dikeluarkan baru-baru ini dan semua pejabat cawangan diarah menyiapkan laporan dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan semula kepada ibu pejabat badan berkenaan.
Katanya, laporan mengenai rekod profil itu kemudian akan dimasukkan ke dalam pangkalan data khas BPR yang diwujudkan khusus bagi tujuan mengenal pasti kewibawaan dan integriti setiap wakil rakyat sedia ada.
"BPR akan menyerahkan rekod profil wakil rakyat itu kepada parti berkenaan jika diminta berbuat demikian bagi membantu mereka membuat pemilihan muktamad senarai calon untuk pilihan raya umum kali ini," katanya.
Sumber itu berkata, BPR menerusi risikannya juga mengambil inisiatif sendiri menapis dan menyediakan rekod profil beberapa pemimpin yang berpotensi dipilih kepemimpinan parti bagi diturunkan sebagai muka baru dalam pilihan raya nanti.
Diminta mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull, berkata proses itu dikendalikan Jawatankuasa Gerakan Pilihan Raya BPR yang ditubuhkan bagi membantu parti politik memilih calon untuk pilihan raya.
"Antara perkara yang diambil kira dalam proses menapis calon baru dan mengemas kini profil wakil rakyat sedia itu ialah latar belakang peribadi serta aktiviti mereka," katanya.
Shukri berkata, jawatankuasa itu dianggotai pegawai khusus yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas berkenaan sama seperti yang dilakukan dalam proses kenaikan pangkat atau pencen pegawai kerajaan.
Beliau yakin pegawai BPR yang ditugaskan meng endalikan jawatankuasa itu mampu melaksanakan tugas mereka dengan berkesan terutama bagi memastikan hanya pemimpin yang berwibawa serta bersih dipilih sebagai calon.
Sementara itu, Shukri berkata, pihaknya sudah menerima senarai calon yang berpotensi untuk dipilih Umno Selangor sebagai calon pada pilihan raya umum ini bagi ditapis oleh Jawatankuasa Gerakan Pilihan Raya BPR.
"Setakat ini, Umno Selangor ialah yang pertama menyerahkan senarai membabitkan wakil rakyat sedia ada serta mereka yang berpotensi dipilih sebagai calon baru bagi pilihan raya kali ini kepada kita," katanya.
Beliau berkata, kerana BPR memang sudah mempunyai rekod bagi wakil rakyat sedia ada, iaitu sejak mereka dilantik, maka tumpuan jawatankuasa itu kini ialah untuk menapis calon yang mungkin diturunkan sebagai muka baru.
Shukri berkata, senarai nama itu diserahkan oleh Umno Selangor kepada pejabat BPR negeri itu beberapa hari lalu, dan Ibu Pejabat BPR menerimanya kelmarin dan ia kini dalam proses tapisan akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan