Tiga anggota polis dan seorang anggota kastam dituduh rasuah
KLANG: Tiga anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang penguasa kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan berasingan menerima rasuah.
Tiga anggota polis berkenaan adalah Mohamad Nor Abdullah, Zakaria Othman dan Baharom Md Ludin manakala penguasa kastam adalah Elango a/l Kaliani Sundram dari Wisma Kastam, Pelabuhan Klang.
Mohamad Nor menghadapi tiga tuduhan iaitu pertama, meminta suapan wang RM2,000 daripada Tan Wee Chee dan Mohd Yusof Saad pada 18 Feb 2006 di Kampung Pasir Tuntong Bukit Rotan Kuala Selangor antara pukul 3 hingga 5 pagi supaya tidak mengambil tindakan ke atas mereka berdua yang mengambil kerang tanpa lesen.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama iaitu penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa "menyetujuterima" satu suapan wang bernilai RM1,000 daripada Tan Wee Chee melalui Mohd Yusof Saad pada tempat, tarikh dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama supaya tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Tan dan Mohd Yusof.
Mohamad Nor juga dituduh "menyetujuterima" satu suapan sebanyak RM500 daripada Tan di Restoran Seri Kampung, Kuala Selangor pada 1 Mac 2006 pada pukul 6.45 petang supaya tidak mengambil tindakan terhadap Tan dan Mohd Yusof kerana mengambil kerang tanpa lesen.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohamad Nor didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama.
Hakim AlBaishah Abdul Manan mengenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 April ini.
Dua lagi anggota polis, Zakaria Othman dan Baharom Md Ludin didakwa memperoleh suapan bernilai RM585 pada 8 Jun 2006 antara pukul 5 hingga 5.30 pagi berhampiran Plaza Tol Kemuning Lebuh Raya KESAS di Klang daripada Samsul Arifin Nadi supaya tidak mengambil tindakan ke atas Muhit Martawi kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu.
Mereka berdua dituduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR, Shazanah Sarwar Khan memohon supaya perbicaraan terhadap kedua-dua mereka dijalankan serentak di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 Mac ini.
AlBaishah kemudian menetapkan kedua-dua mereka diikat jamin RM3,000 setiap seorang. Ketiga-tiga anggota polis itu tidak diwakili peguam.
Penguasa Kastam Elango a/l Kaliani Sundram, 52, menghadapi dua pertuduhan, iaitu pertama, beliau dituduh meminta suapan wang bernilai RM1,000 daripada Nurizal Aliteh pada 25 April 2007 pukul 6 petang di Wisma Kastam Pelabuhan Barat Pulau Indah, Klang untuk meluluskan borang Pengakuan Barang-barang Yang Diimport dan dituduh mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Untuk tuduhan kedua, Elango didakwa memperoleh suatu suapan bernilai RM700 daripada Kamarulhazrin Abdul Karim di Wisma Kastam Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang pada 8 Mei 2007 pukul 11.40 malam supaya meluluskan borang Pengakuan Barangbarang Import dan ini menyalahi Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Peguam R.Ravindran, yang mewakili Elango memohon jaminan anak guamnya dikurangkan daripada RM5,000 kepada RM3,000.
Hakim AlBaishah menetapkan perbicaraan kes itu pada 28 dan 29 Ogos depan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan