HALAMAN SANTAI

Jumaat, 15 Februari 2008

‘Penyanyi’ dipaksa jual tubuh



KUALA LUMPUR: Hanya kerana teruja untuk menjadi penyanyi terkenal di Malaysia, beberapa gadis warga Indonesia akhirnya terjebak dalam kancah pelacuran selepas diperdaya satu sindiket di negara itu.

Difahamkan gadis berusia awal 20-an itu turut dijanjikan oleh sindiket terbabit pendapatan dan pulangan lumayan jika bersetuju dengan tawaran berkenaan.

Bagaimanapun, gadis malang berkenaan yang dibawa masuk secara sah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaliknya menjadi hamba seks sindiket pelacuran dibantu beberapa rakyat tempatan.

Kegiatan terbabit terbongkar selepas pihak Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan beberapa mangsa hasil daripada operasi yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.

Pegawai Perhubungan Kedutaan, Senior Komisioner Setyo Wasisto dipetik berkata, hasil daripada operasi khas yang dilakukan, pihaknya melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia dari Indonesia selepas menyelamatkan enam gadis negara terbabit.

Difahamkan pasukan khas yang ditubuhkan oleh pihak Kedutaan bersama PDRM melakukan serbuan di beberapa hotel, baru-baru ini dan menyelamatkan enam gadis Indonesia yang dipaksa melacurkan diri.

Menurutnya, penyeludupan gadis Indonesia untuk tujuan pelacuran di Malaysia mula dikesan selepas anggota keluarga seorang gadis yang dipaksa melacurkan itu membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Tiada ulasan: