"Calon MB derhaka" Presiden PAS
Oleh Berita Harian
MUAR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah termasuk memilih Menteri Besar di Terengganu dan Perlis sehingga kini berikutan calon yang dikemukakan menderhaka kepada Raja.
Beliau berkata, sebaliknya, parti gabungan Barisan Alternatif (BA) tidak menghadapi masalah untuk memerintah, malah, masalah penubuhan kerajaan campuran di semua negeri yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum lalu juga sudah selesai berbanding kerajaan BN di kedua-dua negeri berkenaan kerana masalah pemilihan Menteri Besar.
"Yang belum selesai (memilih Menteri Besar) ialah Perlis dan Terengganu kerana calonnya derhaka pada Raja.
"Mungkin Raja ada cadangan calon lain (walaupun) Raja tidak berhak ada calon sendiri sebenarnya, namun pemilihan calon BN sepatutnya dipersetujui oleh Raja dan jika Raja tidak setuju, mereka perlu mengemukakan calon lain yang dipersetujui semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Kemenangan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong dan DUN Maharani, di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Muhamad; Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh dan Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim.
Abdul Hadi mendakwa, faktor Sultan tidak bersetuju dengan pemilihan calon itu juga mungkin berkaitan dengan pemerintahan yang mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan unsur negatif lain.
"Saya bimbang mungkin pemimpin pusat dan negeri mempunyai kepentingan masing-masing dan bukan kerana kepentingan rakyat yang menyebabkan mereka mahu jawatan Menteri Besar diberikan kepada orang yang boleh mempertahankan kepentingan mereka," katanya.
Abdul Hadi juga mendakwa BA tidak mahu menang dan memerintah selamanya berbanding dengan sikap BN ingin memerintah lama walaupun terbukti mengalami kelemahan yang nyata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan