DAP harap penyertaan kembali Anwar
PULAU PINANG: DAP berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali segera menjadi ahli Parlimen dan membantu membentuk Malaysia sebagai sebuah demokrasi yang berfungsi secara sihat, kata setiausaha agungnya, Lim Guan Eng, semalam.
Parti tersebut akan terus bekerjasama dengan rakanrakannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan organisasi bukan kerajaan yang lain dalam hal ini, kata Lim dalam ucaptama kepada anggota-anggota parti itu, termasuk ahli-ahli Parlimen dan Dewan Negeri yang baru dipilih pada ulangtahun ke-42 dan konvensyen kebangsaannya di sini.
Anwar boleh menyandang sebarang jawatan politik selepas 15 April tahun ini bila sekatan ke atas beliau untuk menyertai pilihan raya dan memegang jawatan politik ditarik balik.
Lim juga berkata DAP, sebagai sebuah parti, "mestilah pada sepanjang masa mengelakkan sikap mudah berpuashati kerana sepertimana rakyat Malaysia mengundi DAP dalam pilihan raya ini, mereka dengan mudah boleh menyingkirkan parti ini jika kita gagal menyampaikan khidmat".
Beliau berkata pada 1990, DAP pernah memenangi jumlah kerusi negeri terbesar tetapi dalam satu penggal saja pada 1995, DAP "dihukum" oleh pengundi dengan menghadapi kekalahan antara yang paling teruk dalam sejarah parti.
Lim berkata untuk menjadikan DAP dinamik kembali ia hendaklah meningkatkan keanggotaan sekali ganda dengan menambah 100,000 lagi sebelum pilihan raya umum akan datang.
Mengenai bakal ketua pembangkang di Parlimen, Lim berkata perkara itu akan dibincang dengan rakanrakan sekutu DAP iaitu PKR dan PAS selepas urusan pembentukan kerajaan negeri di Selangor dan Perak yang dikuasai oleh pakatan itu selesai.
Beliau berkata mereka yang mendapat sokongan dua daripada tiga parti utama dalam pakatan itu berpeluang menjadi ketua pembangkang.
Diminta mengulas saranan Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin supaya parti itu menjaga hubungan baiknya dengan PKR dan PAS, Lim berkata perkara itu juga akan dibincang selepas pembentukan kerajaan negeri selesai. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan