HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Mac 2008

Eksekutif Bank Negara hadapi 5 tuduhan rasuah



KUALA LUMPUR: Eksekutif Bank Negara di Unit Pembersihan, Jabatan Harta dan Perkhidmatan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah melibatkan sejumlah RM26,985 dalam pemberian kontrak kepada dua syarikat yang terlibat dalam pembersihan sampah dan mencuci permaidani di bank pusat tersebut, di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat.

Mahathir Shahabudin, 51, yang kini digantung kerja, didakwa menerima rasuah RM300 melalui akaun simpanannya daripada pengarah Syarikat First Choices Services, Anuar Paharudin sebagai upah mengekalkan kerja kontrak pelupusan sampah yang dilakukan oleh syarikat itu untuk Bank Negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Tingkat 1, Menara Maybank,
Jalan Tun Perak pada jam 2.06 petang, 18 Nov 2005.

Bagi pertuduhan kedua, Mahathir didakwa menerima RM300 melalui akaunnya daripada Anuar pada jam 4.47 petang di tempat yang sama pada 2 Dis tahun yang sama.

Untuk pertuduhan ketiga, Mahathir di lokasi yang sama didakwa menerima imbuhan RM800 lagi daripada Anuar bagi tujuan yang sama kira-kira 1 petang, 20 Okt 2005.

Untuk pertuduhan keempat dan kelima di tempat yang sama, Mahathir menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM8,575 dan RM17,010 pada 30 Dis 1995 dan 16 Feb 2006 daripada pengarah Syarikat Indramuz Sdn Bhd, M Azhar Ibrahim.

Dia didakwa menerima suapan itu sebagai upah untuk memanggil syarikat berkenaan menjalankan kerja-kerja pencucian permaidani di bank berkenaan.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah dan boleh dihukum menurut Seksyen 16, akta yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan kes berkenaan selama dua hari bermula 13 Ogos depan.

Mahathir diwakili oleh Vasudevan Appu manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah menjalankan pendakwaan. BERNAMA

Tiada ulasan: