Negara boleh bankrap kerana BN amal dasar kronisme - Dr Lo'Lo'
Nur Ab Rahman
SETAPAK (Hrkh) – Jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat dalam pilihan raya umum kali, negara ini mungkin boleh bankrap kerana dasar pemerintahan BN yang mengamalkan kronisme dan rasuah, tegas calon PAS P.119 Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Datuk Haji Mohd Ghazali.
Tegas beliau, walaupun BN sudah menguasai hampir 50 tahun, masih ramai lagi rakyat di negara ini hidup menderita kemiskinan akibat kenaikan pelbagai kos hidup, sedangkan para pemimpin BN tidak pernah sunyi dari masalah rasuah dan kronisme.
"Malah negara sentiasa tidak cukup duit kerana ramai pemimpin mereka yang terlibat dengan rasuah, pengagihan wang yang tidak amanah, peruntukkan wang Petronas berbilion ringgit itu digunakan untuk menyelamatkan kroni-kroni di samping pelbagai pembaziran di sana sini.
"Ini terbukti apabila dalam pilihan raya kali ini, banyak senarai nama pemimpin BN yang digugurkan sebagai calon ekoran terlibat dalam politik wang. Sukarnya Pengerusi BN, Pak Lah untuk memilih calon-calon mereka yang betul-betul bersih.
"Tapi PAS dan rakan kita dalam Barisan Alternatif memberi jaminan calon-calon yang dikemukakan adalah gabungan ulama dan professional yang mampu mewakili suara rakyat dalam Parlimen," ujar Dr Lo'Lo' dalam ceramah umum di Desa Rejang dekat sini, malam tadi.
Beliau menyelar kenyataan pemimpin BN sebelum ini kononnya negara akan bankrap atau muflis kerana tidak cukup duit untuk melaksanakan dasar negara kebajikan seperti yang dijanjikan di dalam manifesto PAS.
Tambah Dr Lo'Lo', jika sumber wang negara ditadbir dengan amanah dan untuk kepentingan rakyat, negara tidak akan jadi bankrap.
"Semasa PAS mengambil alih pemerintahan di Kelantan, pemimpin Umno menyatakan kerajaan negeri akan bankrap dalam tempoh enam bulan. Tapi sekarang, kita sudah buktikan selama 18 tahun. Pembangunan di Kelantan sama seperti di negeri lain, anda boleh datang dan boleh lihat sendiri kemajuan di sana," katanya.
Katanya lagi, tidak ada sebab rakyat tidak boleh memberi kepercayaan kepada BA atau sekurang-kurangnya dapat menafikan majoriti dua pertiga kerajaan yang memerintah.
"Apabila ada suara pembangkang yang kuat, tidak akan sewenang-wenangnya kerajaan BN membelanjakan wang rakyat untuk projek-projek mega sedangkan rakyat masih menderita.
Sudah 50 tahun kita merdeka, apa yang berlaku pada rakyat ialah rakyat tidak ada rumah, sebaliknya menumpang di negara sendiri.
"InsyaAllah jika BA memerintah, kita akan memastikan setiap rakyat memiliki sebuah rumah yang sekurang-kurangnya mempunyai tiga buah bilik," katanya di hadapan kira-kira 1,000 penduduk perumahan rakyat (PPR) Desa Rejang.
Dalam majlis ceramah itu juga, PAS melancarkan Kelab Penyokong PAS di kalangan pengundi berbangsa Cina dan India. Sebanyak 30 helai t-shirt kelab telah diagihkan kepada mereka.
Sambutan di kalangan masyarakat berkenaan begitu mengagumkan, apatah lagi dengan kehadiran Naib Pengerusi Kelab Penyokong PAS Seremban merangkap Titiwangsa, Saudara Vincent Lee Yeow Pong yang turut memberikan ceramah ringkas dalam bahasa Mandarin.
Orang ramai terutama Cina dan India berpusu-pusu mendekati calon PAS untuk menyuarakan segala permasalahan yang mereka hadapi di kawasan tersebut yang gagal ditangani oleh pemimpin BN sebelum ini.
Turut berucap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusuf, Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin dan timbalannya, Tarmizi Mohd Jam. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan