HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Mac 2008

Perjumpaan 23 Adun BN dan MPPR dibatalkan


KUALA TERENGGANU: Perjumpaan 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual berlangsung di Putrajaya pagi ini, dibatalkan.

Menurut seorang wakil rakyat terbabit, makluman berhubung pembatalan itu dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Pengelola Istana, Mohd Yasim Awang pada pukul 9 pagi ini, kira-kira dua jam setengah sebelum perjumpaan diadakan di sebuah hotel di sana.

Bagaimanapun, beliau berkata sebab-sebab pembatalan itu tidak dinyatakan.

"Kami juga tidak dimaklumkan sama ada perjumpaan itu akan diadakan semula atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perjumpaan antara 23 ADUN BN dan MPPR itu, yang tidak dihadiri Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Idris Jusoh, adalah berkaitan isu pelantikan Menteri Besar yang sudah berlarutan sejak seminggu lepas sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai calon yang bakal mengisi jawatan itu.

Mengulas lanjut, wakil rakyat itu berkata kesemua mereka bergegas ke Putrajaya malam tadi, selepas menerima SMS daripada Pengelola Istana pada pukul 3 petang semalam, yang memanggil mereka untuk menghadiri perjumpaan itu.

Sementara itu, ADUN berkenaan berkata mereka juga mengadakan pertemuan selama setengah jam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pukul 3.15 petang ini, bagi menerangkan mengenai isu pelantikan Menteri Besar.

"Perdana Menteri telah sedia maklum mengenai perkara ini. Beliau minta kami bersabar dan perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: