HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mei 2014

Telefon pemimpin PAS juga mangsa godam

MALAYSIAKINI


 


Selain pemimpin DAP, termasuk timbalan ketua menteri Pulau Pinang, mendakwa telefon bimbit digodam menjelang pilihan raya kecil, seorang pemimpin PAS pula kini mengadu perkara sama.

Pemimpin PAS Selangor Khalid Samad berkata, telefon bimbit dan nombor telefon yang digunakannya digodam serta digunakan bagi menghantar SMS “provokasi” berkaitan hudud.

Anggota Parlimen Shah Alam itu berkata, ia bertujuan membangkitkan kemarahan DAP sebagai rakan dalam gabungan Pakatan Rakyat kepadanya.

“Perilaku khianat ini dipercayai bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat, penyokong dan masyarakat.

“Justeru itu, tindakan segera untuk membetulkan keadaan ini sedang diambil,” katanya yang sudah membuat laporan kepada syarikat telekomunikasi berkaitan.

Dalam laporan polisnya di Shah Alam pada 23 Mei lalu, Khalid menyebut, SMS palsu yang dihantar itu memetik ayat al-Quran yang menyebut bahawa pihak yang tidak berhukum dengan hukum Allah jatuh kafir.

Ia kemudian disusuli dengan ayat berbunyi: “Sedarlah DAP terang-terang tolak hudud dan Islam.”

Empat pemimpin DAP Pulau Pinang pada 24 Mei lalu membuat laporan polis mendakwa telefon bimbit mereka digodam (atas) untuk menghantar mesej berbaur perkauman menjelang pilihan raya kecil Bukit Gelugor semalam.

Tiada ulasan: