HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mei 2014

Salahkan bukan Melayu kerana persoalkan hak Melayu, kata Isma

OLEH HUDA MAHMOUD


Dalam mengatakan mengapa Melayu kini mempertikaikan hak bukan Melayu, Isma memberi sebab ianya tidak adil jika yang bukan Melayu sahaja boleh merungut tentang hak istimewa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2014. Dalam mengatakan mengapa Melayu kini mempertikaikan hak bukan Melayu, Isma memberi sebab ianya tidak adil jika yang bukan Melayu sahaja boleh merungut tentang hak istimewa Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insider. 




Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini berkata status bukan Melayu dalam negara sepatutnya tidak dipersoalkan jika mereka tidak merungut tentang hak keistimewaan Melayu.

Timbalan Presiden Abdul Rahman Mt Dali menulis di laman web Isma itu bahawa golongan bukan Melayu sentiasa mempertikaikan hak keistimewaan Melayu. ‎

"Oleh itu, Melayu mempunyai hak sepenuhnya untuk mempertikaikan keputusan-keputusan dahulu yang memberi hak kepada kaum bukan Melayu. Kalau tidak, ianya tidak adil," tulisnya, beberapa jam selepas rakyat Malaysia bersatu menyokong pasukan Malaysia dalam kejohanan Piala Thomas yang kalah kepada Jepun semalam‎.

"Sedangkan perdana menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman juga pernah menegaskan perkara ini," kata Abdul Rahman, sambil menambah perdana menteri pertama itu sudah banyak memberi muka kepada kaum Cina.

Abdul Rahman memetik bekas perdana menteri berkata, "Orang Melayu bersedia menawarkan hak-hak yang munasabah untuk orang bukan Melayu.

"Orang Melayu sudah banyak berkorban bagi orang bukan Melayu. Belum ada lagi golongan bangsa asal yang berbudi pekerti begitu tinggi seperti orang Melayu.

"Oleh itu, memang patut adanya jaminan hak istimewa untuk orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan."

Malah, kata Abdul Rahman, bekas Ketua Hakim Negara Tun Suffian juga pernah membuat kenyataan hampir sama kepada Tunku Abdul Rahman.

"Sebagai pertukaran dalam memberikan kewarganegaraan tanpa syarat kepada bukan Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera harus tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perlu juga ada peruntukan lain yang dipersetujui oleh pemimpin bukan Melayu," Abdul Rahman memetik kata Mohamed Suffian.

Abdul Rahman berkata hak istimewa orang Melayu sudah pun dimeterai dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Orang Melayu diberikan keistimewaan dalam tiga aspek, perkhidmatan awam, pendidikan dan ekonomi, sementara yang berkaitan dengan tanah rizab Melayu ada dalam Artikel 89 dan 90," kata Abdul Rahman.

"Bagaimanapun, parti sosialis DAP yang ditubuhkan oleh fahaman Yahudi dengan pemimpin seperti Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh dan anak-anak mereka sering mempertikaikan hak istimewa orang Melayu.

"Ini termasuklah entiti seperti Mara, UiTM, biasiswa, dan hak pengurusan Islam. Mereka mahukan kesamarataan antara bangsa," kata Abdul Rahman.

Beliau berkata jika DAP atau sesiapa lagi ingin mempertikaikan semua keputusan awal yang dibuat tentang hak istimewa orang Melayu, Isma juga boleh mempertikaikan sejarah.

"Ini termasuklah memberikan hak kepada bukan Melayu, kewarganegaraan, penggunaan bahasa, sekolah vernakular dan banyak lagi.

"Beginilah, jika DAP boleh mempertikaikan UiTM, Isma boleh mempertikaikan sekolah vernakular Cina. Jika DAP mempersoalkan peruntukan awam yang diberikan kepada orang Melayu, Isma boleh mempersoalkan kekayaan bumi Melayu yang sudah dipunggah lama dahulu untuk dibawa balik ke negara China."

Abdul Rahman menegaskan orang Melayu tidak perlu malu menuntut dan mempertahankan hak mereka dan sepatutnya bangga dengan pengorbanan nenek moyang mereka.

"Orang Melayu dinafikan hak mereka oleh pendatang daripada pelbagai kaum," kata Abdul Rahman.

Awal bulan ini, Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman disiasat mengikut Akta Hasutan selepas menuduh kaum Cina sebagai "pendatang".

Tiada ulasan: