MALAYSIAKINI
Seorang ibu tunggal di Teluk Intan mendakwa Ketua Wanita Umno Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil melawatnya pagi tadi dan memberikan bantuan
berupa wang tunai dan barangan keperluan sambil merayu sokongan terhadap
BN.
“Saya diberi RM500 dan pampers (lampin), untuk kegunaan anak perempuan saya,” katanya kepada Malaysiakini, sambil berterima kasih terhadap Shahrizat dan BN atas hadiah itu.
Penganggur 57 tahun itu mendakwa, Shahrizat memintanya mengundi calon BN Mah Siew Keong.
P Panjalay menetap di Taman Semarak dan menjaga tiga anak perempuannya
yang berumur antara 33 hingga 36 tahun yang mempunyai masalah mental.
Shahrizat meluangkan masa kira-kira 20 minit di rumahnya pagi ini.
Panjalay mendakwa, Shahrizat menyerahkan wang kepadanya tetapi beliau
tidak pasti sama ada ia datang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
atau Umno.
Tanpa mengambil kira sumbangan ini, beliau bagaimanapun berkata sentiasa menjadi penyokong BN.
“Saya akan tetap sokong BN. Saya tidak pernah pangkah pembangkang. Saya
akan bawa anak kedua saya untuk mengundi sama. Kami berdua akan sokong
BN,” katanya.
Shahrizat, penasihat khas kepada perdana menteri dalam isu-isu wanita
dan kebajikan melawat dua keluarga di Teluk Intan hari ini.
Beliau turut melawat sebuah keluarga lagi di Jalan Mat Intan yang baru
sahaja kehilangan anggota keluarga sebelum menghadiri program keagamaan
di Taman Intan.
Shahrizat dalam reaksinya di Twitter sebentar tadi menafikan perkara itu.
“Portal propembangkang fitnah I give 500 ringgit and pampers to voters buy votes.
“Sebagai pengerusi Yayasan Kebajikan Negara saya buat lawatan kepada pelanggan YKN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan