HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mei 2014

Manifesto calon BN kitar semula, kata DAP

MUHAMMAD FAIZAL 



 


TELUK INTAN: Pemimpin DAP menyifatkan manifesto calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong sebagai manifesto kitar semula.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkata, manifesto berhubung cadangan pembinaan Universiti itu tidak lebih dari hanya janji politik.

"Kita mahu Mah beritahu kepada seluruh penduduk Teluk Intan, di mana lokasi, bila dan apa nama universiti yang ingin dibina.

"Kita tidak mahu rakyat terpedaya dengan manifesto kitar semula, sedangkan janji untuk membina universiti telah dinyatakan BN sebelum ini tetapi tidak ada pembinaan langsung dan sekarang mereka janji semula," jelasnya.

Nga berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan DAP hari ini.

Beliau turut menggesa BN agar lebih jujur dalam janji mereka dan tidak memperdayakan rakyat Teluk Intan hanya semata-mata untuk mendapatkan undi.

Nga turut mempersoal tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat pecah tanah untuk Lebuhraya Pantai Barat yang menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor di sini semalam.

"Yang peliknya pecah tanah itu dilakukan ditengah-tengah bukan permulaan lebuhraya tersebut.

"Lebuhraya itu menghubungkan Banting dan Taiping, bagi Teluk Intan hanya sedikit sahaja laluannya, biasanya pecah tanah dilakukan pada pemulaan jalan tersebut bukan tengah-tengah laluan," katanya.

Beliau juga mendakwa manifesto BN itu membuktikan parti itu mengakui pembangunan di Teluk Intan jauh ketinggalan dengan tempat-tempat lain walaupun BN merupakan parti pemerintah di Perak dan Putrajaya.

Turut serta pada sidang media itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria. -

Tiada ulasan: