KUALA LUMPUR: Gejala penyebaran maklumat palsu, hebahan teori konspirasi, bomoh dan amalan syirik tidak harus berulang dalam menangani kes tembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Khairol Najib Hashim berkata demikian ketika mengulas tragedi yang mengorbankan 298 nyawa di sempadan Ukraine dan Russia, 17 Julai lalu.
"Kepercayaan khurafat seperti itu jika terus berulang selepas insiden MH370 yang hilang empat bulan lalu hanya mengundang tanggapan buruk masyarakat dunia terhadap negara kita.
"Meskipun misteri kehilangan MH370 masih belum terungkai, PMIUM berpendirian rakyat Malaysia perlu lebih matang mengambil iktibar dalam menghadapi musibah yang menimpa pesawat MH17 kali ini," katanya pada kenyataan media.
Pada masa sama, ujar Khairol, sensitiviti pihak tertentu terutama keluarga mangsa harus dihormati.
"Dalam pada itu, usah biarkan kecaknaan kita tertumpu pada satu-satu isu sahaja. Saudara-saudara kita di Palestin punya hak untuk terus mendapatkan solidariti daripada kita.
"Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mari kita bersama-sama muhasabah dan sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan keamanan dan melindungi kita semua dari bala bencana," jelasnya lagi.
Untuk rekod, penyebaran angka 17 dengan mengaitkan makna tertentu dalam nahas pesawat milik MAS itu menjadi 'viral' di media sosial.
Catatan berkenaan menunjukkan: MH17 kali pertama diterbangkan pada 17/7/1997, terhempas pada 17/7/2014 iaitu genap ulang tahun ke-17 penerbangan itu. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan