MALAYSIAKINI
NGO ABIM memuji pelumba basikal negara Azizulhasni Awang yang berani
memakai sarung tangan bertulis 'Save Gaza' ketika pusingan pertama acara
lumba basikal di temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland semalam.
Presidennya, Amidi Abd Manan menyifatkan Azizulhasni sebagai wira umat
Islam dan wira kemanusiaan apabila menunjukkan solidaritinya kepada
rakyat Palestin yang diserang oleh tentera rejim Zionis.
“Beliau
mewakili generasi muda Malaysia tanpa mengira latar agama dan bangsa
menyertai umat dunia membantah pemerkosaan kemanusiaan oleh regim
teroris Zionis.
“Gaza bukan konflik politik biasa tetapi ia adalah satu pencabulan hak
kemanusiaan yang amat buruk. Tiada rekod seburuk Israel dalam perihal
hak asasi manusia yang membunuh tanpa belas dan merampas tanah rakyat
Palestin,” katanya.
Dalam kenyataan medianya, Amidi juga menyeru rakyat Malaysia bersama
memberikan sokongan terhadap keberanian pelumba muda yang mempertaruhkan
masa depan kerjayanya dan mungkin keselamatan dirinya.
"Sukan adalah wahana membina perpaduan dan kemanusiaan. Justeru tindakan
Azizulhasni adalah demi memartabatkan kemanusiaan," kata Amidi lagi.
Bagaimanapun New Straits Times melaporkan Azizul bersetuju untuk memohon
maaf kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang menyalahkan beliau
kerana menunjukan protes depan kamera.
Azizulhasni dilaporkan menghantar mesej dengan menayang sarung tangan
"Save Gaza" selepas menewaskan pelumba England Philip Hindes dalam Sukan
Komanwel di Glasgow semalam.
Sementara itu, dalam tulisan Facebook miliknya, Azizulhasni memohon maaf
kepada pihak yang salah faham maksud sebenar tindakannya itu dan
menyifatkan ia tidak ada kena mengena dengan protes politik.
"Ia daripada hati sanubari saya untuk menzahirkan rasa kemanusiaan.
Sejak bila menzahirkan kemanusiaan dianggap sebagai bersifat politik?
“Saya mohon maaf kepada pihak yang fikir saya melakukan kesalahan dan
terima kasih banyak kepada setiap orang yang sering menyokong dan
mendoakan saya. Tiada kata lain yang saya dapat luahkan," katanya.
Beliau juga memaklumkan telah menerima amaran ekoran tindakannya tetapi
dibenar meneruskan perlumbaan hari ini tanpa sarung tangan 'Save Gaza'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan