SETIAP kali buka mata, saya akan rasa berdebar serta takut mengenangkan apa yang akan terjadi selepas saya melangkah ke tempat kerja. Bohonglah jika saya kata tidak takut dan tidak terfikir akan nasib rakan-rakan serta penumpang yang berada dalam pesawat MH370 dan MH17.
Sepanjang berkhidmat lebih 12 tahun sebagai seorang pramugari kami sudah memang dilatih untuk bersedia mental dan fizikal, namun sebagai manusia biasa, sedikit sebanyak perkara yang berlaku mengganggu fikiran kami semua.
Kedua-dua kejadian itu sebenarnya memberi kesan mendalam bukan sahaja dari segi emosi malah turut menggugat keyakinan diri kami.
Ketika insiden MH370, saya memang terkejut kerana itu insiden pertama yang berlaku kepada krew kapal dan penumpang MAS.
Saya masih belum dapat terima kenyataan sepenuhnya bahawa kesemua rakan-rakan yang dianggap sebagai keluarga sendiri hilang tanpa diketahui nasib mereka.
Setiap kali, setiap waktu, hingga ke hari ini, saya tertanya-tanya sendiri, di mana mereka? Adakah mereka akan pulang? Apa yang terjadi kepada mereka?
Jauh di sudut hati, saya masih mengharap mereka akan ditemui. Apabila berlaku insiden kedua ke atas pesawat MH17, keyakinan diri semakin tergugat kerana berlaku dalam tempoh singkat dan lebih menyayat hati semua yang terkorban menjadi mangsa akibat konflik yang berlaku di negara terbabit.
Walaupun rasa takut dan bimbang, saya kuatkan semangat dan bertawakal kepada ALLAH SWT. Saya sematkan dalam hati, seandainya insiden sama menimpa saya ketika bertugas, saya redha dan menganggap bahawa itu adalah ketentuan-Nya.
Apa yang penting, saya perlu terus bekerja kerana ini adalah punca rezeki saya dan kerja yang amat saya sukai.
Sewaktu mengetahui insiden MH17, saya seboleh-bolehnya tidak mahu melihat senarai nama krew kapal kerana kesemua individu itu adalah orang yang saya kenal.
Jika dulu sebelum meninggalkan suami, anak dan keluarga, saya hanya akan mencium mereka dan mengucapkan selamat tinggal.
Namun sekarang, setiap kali saya meninggalkan orang tersayang terutama suami dan anak berusia empat tahun, saya akan cium dan peluk mereka.
Saya akan pastikan saya meluangkan masa secukupnya bersama mereka, seolah-olah itu adalah kali terakhir saya akan bersama mereka.
Suami juga pernah menyatakan hasrat untuk saya berhenti daripada kerjaya ini, kerana bimbang akan keselamatan diri saya, tetapi saya berbelah bahagi.
Saya berjaya memujuk suami untuk terus membenarkan saya bekerja. Saya katakan apa-apa yang akan berlaku, semua sudah tertulis. Jika ia berlaku, kita harus menerima sebagai takdir. Apa yang penting sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan