Walaupun hampir semua rakyat Malaysia menyambut Hari Raya tahun ini dengan cara sederhana berikutan tumpang bersedih dengan tragedi pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine dan kerajaan juga membatalkan banyak majlis-majlis rumah terbuka sebagai tanda turut bersimpati, tetapi Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang merupakan Penasihat MAS seolah-olah tidak terkesan apa-apa dengannya.
Semalam, beliau yang juga bekas Perdana Menteri bersama isterinya, Jeanne Abdullah, anak-anak menantu, anak tiri serta kaum keluarga terdekatnya telah pun berlepas ke Melbourne untuk bercuti dan menyambut Hari Raya di sana. Beliau yang dipercayai berada di Melbourne selama lebih seminggu itu nampaknya tidak bersedia menangguh atau membatalkan percutiannya di ketika seluruh rakyat Malaysia dan dunia seolah-olah sedang berkabung ketika ini.
Meskipun jawatannya di syarikat penerbangan milik kerajaan itu tidak mempunyai apa-apa kuasa eksekutif, tetapi sebagai penasihat apatah lagi sebagai bekas Perdana Menteri yang terkenal dengan imej Islam dan popular dengan gelaran "mr clean", Pak Lah sekurang-kurangnya wajar menunjukkan sedikit rasa simpati dan prihatinnya kepada keluarga mangsa MH17 ketika ini.
Lebih-lebih lagi ketika Perdana Menteri, Najib Razak menunjukkan rasa prihatin yang boleh dipuji dengan membatalkan jamuan rumah terbukanya dan diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri yang membuat keputusan yang sama, tindakan Pak Lah meneruskan percutian dan sambutan Hari Rayanya di luar negara seperti beliau sudah terasing daripada rasa kekitaan dan kebersamaan dengan keputusan kerajaan.
Sudahlah tidak melawat dan mengunjungi keluarga mangsa untuk mengucapkan takziah, tindakannya meneruskan percutian dan berhari raya di luar negara ini juga langsung tidak kena dengan masanya.
Atas tragedi yang menimpa MH17 ini, Najib Razak bukan saja membatalkan sambutan rumah terbukanya dan meminta semua rakyat Malaysia menyambut Hari Raya tahun ini dengan cara paling sederhana, bahkan beliau juga difahamkan menangguhkan semua percutiannya pada tahun ini sehingga semua isu mengenai mangsa dan keluarga mereka dapat dibereskan dengan sebaik-baiknya.
Lebih memilukan lagi ialah percutian Pak Lah dan keluarganya ini yang dianggarkan menelan belanja lebih RM300 ribu, termasuk kononnya mengadakan jamuan Hari Raya dengan rakyat Malaysia di Melbourne, adalah ditanggung oleh kerajaan dengan menggunakan wang pembayar cukai.
Dalam masa yang sama, Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan menantu Pak Lah yang kini sedang menghadiri Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, dipercayai akan turut terbang ke Melbourne untuk bersama-sama menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga mertuanya itu.
Dalam hal ini, Khairy seolah-olah terheret sama bercuti dan bergembira di luar negara serta dilihat berbeza dengan pendirian yang diambil oleh Najib dan lain-lain anggota kabinet.
Tindakan Pak Lah tidak menunjukkan keprihatinan dalam tragedi malang yang menimpa negara bukanlah kali pertama sebenarnya. Ketika isu kehilangan pesawat MH370 sedang diperkatakan kira-kira tiga bulan lalu, sebagaimana yang didedahkan oleh portal Free Malaysia Today, Pak Lah juga didapati bercuti bersama ahli keluarganya di Sepanyol sambil bersiar-siar di lautan negara itu dengan sebuah kapal mewah yang disewa khas.
Ketika itu, ramai yang mempertikaikan tindakan Pak Lah itu dan menunjukkan beliau seolah-olah tidak turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa negara dan MAS yang mana beliau menjadi penasihatnya.
Tetapi dengan terus menunjukkan sikap yang yang serupa ketika berlakunya tragedi MH17 yang lebih dahsyat dan menyanyat hati, bahkan keluarga mangsa di negara ini dan di seluruh dunia ketika ini sedang berendam air mata menunggu ketibaan jasad mangsa yang tidak lagi sempurna atau mungkin hanya cebisan-cebisannya saja yang tiba, percutian dan bersukarianya beliau di luar negara ini tentunya menambahkan duka yang ada.
Apakah sebagai penasihat MAS dan bekas Perdana Menteri, tidak tercuit sedikit pun hati kecilnya atas petaka yang bertimpa-timpa ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan