Oleh Lanh
Baru ini rakaman video seorang wanita bertudung yang didakwa bertindak ganas dan ekstrem selepas kereta Peugeot 208 miliknya dilanggar kereta seorang pesara di Kuantan, menjadi viral dalam internet.
Ramai orang memilih untuk mengutuk wanita ini,namun pada bulan Ramadan yang mulia ini saya memilih untuk mengaku bahawa 'perempuan gengster itu adalah aku'.
Ya, ramai daripada kita mendakwa kononnya diri kita baik, tidak buruk seperti perempuan itu, tetapi ketahuilah wahai tuan dan puan sekalian bahawa diri kita ini tidak sebaik mana, hanya Allah melindungkan sikap buruk kita, kalau Dia dedahkan habislah kita...
Bukankah salah satu doa yang kerap kita baca adalah: "Ya Allah,
janganlah Engkau biarkan kami dalam keaiban kecuali Engkau
sembunyikannya..." Demikianlah perlakukan buruk kita tidak didedahkan
oleh Allah, ertinya kita nampak baik bukan kerana kita baik tetapi
Allah menolong kita dengan tidak mendedahkan keburukan kita kepada
umum.
Kalaulah perlakukan buruk kita dirakam dan didedahkan kepada
umum...alangkah malunya dirinya. Namun ingatlah, di akhirat nanti
segala keburukan kita akan didedahkan kecuali di kalangan orang
tertentu seperti orang yang menyembunyikan aib orang, maka Allah akan
menyembunyikan aibnya.
Hanya Allah dan kita yang tahu akan hakikat diri sendiri. Sesetengah
ulama memberi panduan bagi mengenal diri sendiri, renunglah mata kita
sendiri dalam cermin dan lihatlah diri kita sendiri dalam mata itu.
Bukalah pintu hati, akan datanglah keinsafan diri bahawa "aku
sebenarnya tidak sebaik yang orang sangka."
Akan terbayanglah segala keburukan diri kita selama ini. Kenangkanlah
masa lalu, apabila harta benda kita (termasuk kereta) 'diusik' orang
adakah kita orang yang sabar ataupun kita pun bertindak sama macam
'wanita gengster' itu? Bukankah kita pernah menjadi 'Hulk'...naik angin
semacam apatah lagi menyedari mangsa yang kita maki hamun itu berada
dalam kedudukan lemah?
Orang bertukar menjadi 'Hulk' bukanlah perkara asing...kerap benar
kita melihatnya di pejabat, di dalam kenderaan awam malah di rumah
sekalipun. Sebagai ketua di rumah, saya takut jika menjadi 'Hulk'
kerana gagal mengawal emosi akibat tekanan anak isteri. Menjadi 'Hulk'
di rumah lagi senang daripada di pejabat dan di jalan raya sebab orang
yang kita hadapi (anak isteri) lebih lemah daripada kita.
Namun di pejabat dan jalan raya, kita tengok-tengok juga sebelum
menjadi 'Hulk'. Kalau lawan kita bos kita yang bebadan sasa atau
pembuli jalan raya tentunya kita tidak menjadi 'Hulk' sebaliknya jadi
'tikus'.
Ulama berkata berdoalah kepada Allah SWT agar Dia tidak menyerahkan
'diri kita kepada diri kita sendiri'. Jika ini berlaku, kita akan
bertindak seperti 'wanita gengster' itu kerana dalam situasi begitu
iblis dan syaitan akan menguasai diri kita.
Sebaliknya, berdoalah kepada Allah agar Dia-lah yang menguasai dan
menjaga diri kita. Apabila kita berada dalam jagaan dan
perlindungan-Nya, terselamatlah daripada menjadi 'gengster' atau
'Hulk'. Hanya orang yang akrab dengan Allah (beriman) akan terselamat
kerana semua gerak gerinya adalah berpandukan kehendak Allah.
Sifat-sifat mulia seperti reda dan sabar akan menghiasai dirinya.
Ya, wahai pembaca, mungkin ada yang tertanya-tanya apa kena mengena
antara 'kisah wanita gengster' dengan 'kisah Tanah Suci'. Berdasarkan
pengalaman saya, jemaah haji pun ada yang bertukar menjadi 'Hulk'.
Suatu subuh dapat saya saksikan betapa hebatnya pertengkaran antara
seorang jemaah haji lelaki yang isterinya dipaksa meninggalkan dataran
Kaabah kerana selepas azan kawasan itu akan dijadikan tempat sembahyang
jemaah lelaki sedangkan orang perempuan nun jauh di belakang.
Bayangkanlah di depan Kaabah pun mereka bertengkar, lama pula tu.
Namun tidaklah saya ketahui butir-butir kerana bahasa mereka asing pada
saya.
Selain 'kelam kabut' sejurus sebelum solat wajib (jemaah perlu
memberhentikan tawaf untuk solat), ada juga jemaah bertukar menjadi
'Hulk' ketika mahu mengucup Hajar Aswad.
Mereka tidak pedulikan apa juga halangan, mereka rempuh saja tidak
kira perempuan ke atau orang tua. Kadang-kala sehingga tercampak dan
terjatuh jemaah dirempuh mereka. Ada yang dapat kucup Hajar Aswad
tetapi kemudian mendapati diri mereka 'dicampakkan' ke atas jemaah
lain. Ada pula yang membikin rantaian manusia, mereka menginjak-injak
ke depan untuk mencium Hajar Aswad, apa yang terjadi kepada jemaah lain
bukan urusan mereka.
Demikian kemungkinan untuk menjadi 'Hulk' ada pada setiap manusia dan
pada bila-bila masa tanpa disangka. Akan tiba-tiba saja 'satu angin'
datang kepada diri kita, langsung kita tidak sedar apa yang kita
lakukan. Itulah kita manusia yang tidak sunyi daripada melakukan dosa.
Kata orang, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Menyedari diri sendiri
bahawa kita banyak salah dan dosa sudah baik, apatah lagi bermuhasabah
untuk mengkoreksinya.
Islam mengajarkan kita; sebaik-baik orang adalah mereka yang bertaubat
apabila sudah terlanjur. Nabi Adam a.s. sendiri memohon doa yang
bermaksud: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiayai diri kami sendiri,
dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami,
nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi." (Maksud Surah
Al-A'raaf ayat 23)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan