HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Julai 2014

Tidak rugi MAS hentikan hidangan arak

Oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman


Setiap rakyat Malaysia merakamkan kesedihan dan rasa terkejut dengan tragedi MH17 yang ditembak jatuh pada pertengahan Ramadan tahun ini. Dewan Pemuda PAS Kedah juga turut melahirkan rasa sedih dan simpati kepada mangsa di dalam pesawat berkenaan serta ahli keluarga yang terlibat.

Selaku sayap utama sebuah Parti Islam yang berjuang atas landasan dakwah dan saling memperingati antara kita, kami merasakan tiba masanya kerajaan Malaysia serta pihak pengurusan tertinggi MAS melihat permasahan yang menimpa MAS mutakhir ini dalam sudut pandang paling asas, iaitu unsur ketuhanan dan kehambaan.

 Apabila pada bulan Mac kita dikejutkan dengan tragedi kehilangan pesawat MH 370 yang lesap begitu sahaja, kini pesawat MH 17 pula yang dilaporkan terkena tembakan ‘syubhah’ samada pihak Rusia mahupu Ukraine yang tidak mengakui kesilapan menembak pesawat yang memuatkan lebih 200 penumpang awam.

Dalam tragedi dan musibah yang berlaku ini perlunya pihak kerajaan Malaysia dan MAS melihat unsur kemurkaan Allah yang berada dalam perut pesawat-pesawat MAS yang mewakili syarikat penerbangan sebuah negara umat islam.

Dengan hidangan arak yang tidak pernah cuba dihapuskan, malah aspek aurat serta pakaian yang terkeluar daripada landasan syarak juga tidak diendahkan.

Menaiki pesawat MAS tidak membawa para penumpang merasai bahawa pesawat ini dikendalikan oleh sebuah negara yang saban tahun menganjurkan Musabaqah Al-Quran, malah menjadi johan saban tahun dalam hal taranum Al-Quran.

Hal ini amat mengecewakan ramai pihak memandangkan ayat-ayat Al Quran yang dialunkan mengandungi banyak ayat hukum berkenaan arak dan aurat serta tanda-tanda kemurkaan Allah.
Firman Allah:

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. "(QS Al-Baqarah 208)

Mengabaikan perintah mengharamkan arak serta perintah menutup aurat ertinya menolak sebahagian isi kandungan kitab Al-Quran, Firman Allah,

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan ​​dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu lakukan.” (QS Al-Baqarah 85)

Dewan Pemuda PAS Kedah menyokong teguh kenyataan teguran Profesor Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkenaan jualan arak dalam pesawat MAS.

Pada Mac tahun ini juga beliau pernah menegur kerajaan secara terbuka selepas insiden MH 370. Malah teguran itu adalah suara rakyat yang cintakan Islam.

Kerajaan juga perlu rasa malu dengan kenyataan Setiausaha Eksekutif National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Alfred Tais bahawa ajaran Kristian sendiri tidak menggalakkan penganut ajaran itu mengambil minuman keras sekaligus menyokong cadangan memansuhkan hidangan arak dalam pesawat MAS walaupun beliau mengakui masalah untuk pelaksanaan pemansuhan tersebut ialah kerana pesawat MAS tidak hanya dinaiki oleh penumpang dari Malaysia.

Jika benar kerajaan berhasrat bermuhasabah dan ingin meraih redha Allah semula, apa salahnya jika diadakan soal selidik dan kajian peratusan penumpang yang enggan menaiki pesawat MAS hanya kerana tiada jualan arak dan kerana paramugarinya menutup aurat dan tidak memakai pakaian ketat lagi.

* Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Tiada ulasan: