KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan
kenyataan pemimpin nombor satu Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung
polemik jawatan Menteri Besar sebagai pandangan peribadi dan bukan
keputusan rasmi parti itu.
Sebaliknya Mohamad yang mesra dengan panggilan 'Mat Sabu' ini berkata
pendirian rasmi PAS mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
selaku Menteri Besar Selangor akan diputuskan selepas sambutan
Aidilfitri nanti.
Ujar beliau, PAS akan mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos depan bagi membincangkan perkara tersebut.
"Itu pandangan peribadi, kita akan mesyuarat 10 Ogos. Pada 10 Ogos nanti keputusan parti.
"10 Ogos mesyuarat (dan) kita patuh pada keputusan mesyuarat," katanya kepada sebuah portal media.
Semalam Abdul Hadi mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai
Menteri Besar Selangor kerana beliau tidak pernah khianat dalam
menjalankan amanah kepada rakyat.
"Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan
bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.
"Saya sudah dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati
majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep
amanah yang ditunaikannya," katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat
di rumahnya di Rusila di Marang, Terengganu.
Abdul Hadi berkata, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau
sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar,
didapati majoriti Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan
sebagai menteri besar namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis
Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat Rabu lalu menerima cadangan
PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan presidennya Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.
Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
"Tiada apa, saya nak raya dulu. Tunggu selepas hari raya," katanya.
Abdul Hadi dalam kenyataannya turut berkata, alasan pihak yang mahu
menukar menteri besar Selangor tidak kukuh dan beliau secara peribadi
tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.
"Kalau beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna
duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan
lain, itu kita boleh urus tetapi bukandengan cara tukar menteri besar
dan biarlah dia habiskan tempoh penggal.
"Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Khalid tidak sampai
kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya
kita turunkan beliau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan