ISU penggunaan rokok elektronik atau vape merupakan
antara isu besar pada tahun ini yang menarik perhatian pelbagai pihak,
antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri
(KDN), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, masyarakat umum dan
pengguna vape itu sendiri.
Walaupun sesetengah blog atas talian menyatakan vape sudah bertapak di
Malaysia sejak 2009, kehadiran trend baru tersebut mula menjadi
perhatian bermula pada Ogos selepas beberapa laporan mengenai penggunaan
vape menjadi viral di laman sosial dan menarik perhatian media massa.
Berikut merupakan kronologi berita berkenaan isu vape sepanjang tahun 2015 di Malaysia.
12 Ogos: KKM saran henti sementara guna vape
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memberitahu kementerian
sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi
mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan vape kepada
kesihatan.
"Pada pandangan kementerian, kami menganggap ia sebagai satu lagi
bentuk rokok tetapi caranya berbeza. Pengguna akan mendapat semua kesan
seperti menghisap rokok cuma mungkin kandungan tar lebih rendah tetapi
kesan nikotin adalah sama," kata Subramaniam.
14 Ogos: Pendapat pakar kanser mengenai vape
Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)
mengeluarkan pendapat bahawa tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan
rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap kanser itu
sendiri.
"Nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh
menyebabkan kanser," kata Ketua Pegawai Perubatan NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin kepada Bernama
17 Ogos: Persatuan Perubatan Malaysia gesa pengharaman vape
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan
menimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik kerana alat itu
'berkemungkinan besar' menyebabkan kemudaratan.
"Cecair mengandungi nikotin yang digunakan untuk 'vaping' tetap
berpotensi menyebabkan terjadinya tabiat dan ketagihan," kata Presiden
MMA, Dr Ashok Zachariah Philip kepada Bernama.
16 Ogos: Isma nyata pendirian
Pegawai Majlis Ulama Isma, Muhammad Firdaus Zalani risau apabila
terdapat pihak menyebut kononnya antara kebaikan rokok elektronik ini
adalah ianya menjadi ubat kepada perasaan ketagih terhadap perbuatan
menghisap rokok.
Katanya Firdaus, kegagalan dalam memahami hal tersebut akan menyebabkan
rosaknya kefahaman masyarakat akan seluruh perkara yang berkaitan
maksiat, bukan sekadar berkaitan rokok.
"Dalam Islam, konsep berkaitan perlakuan sesuatu maksiat itu jelas lagi
terang iaitu; Ia hendaklah ditinggalkan dan ditolak serta digantikan
dengan amalan kebaikan!" jelas Firdaus lagi.
2 September: Video pengguna vape tidak sensitif viral
Sebuah video konfrantasi seorang pengguna laman sosial dengan seorang
penghisap vape yang telah menghisap alat berkenaan di pusat
membeli-belah tanpa menghiraukan pandangan masyarakat awam menjadi viral
dan dikecam netizen.
21 September: Parlimen Belia cadang pengawalan keatas vape
Persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM) kali ketiga yang melibatkan
125 anggota Parlimen Belia Malaysia (APBM) mencadangkan supaya
pengedaran, penjualan dan penghasilan vape di Malaysia dikawal.
27 September: Organisasi vape serah 50,000 petisyen
Malaysia Organisation of Vape Entities (MOVE) menyerahkan 50,000
petisyen yang dikumpulkan dari ahli-ahli organisasi mereka sejak bulan
Julai.
Presiden MOVE, Samsul Kamal Arrifin berkata, ia bagi memastikan
pembuatan, penjualan dan pengedaran produk berkaitan vape dikeluarkan
secara sistematik, selamat serta berstruktur.
2 Oktober: Kawal selia vape dan vape sebagai alternatif
Penyelidik dan pakar kardiologi utama The Onassis Cardiac Surgery
Centre (OCSC), Dr Konstantinos Farsalinos berpendapat satu sistem kawal
selia khusus diperlukan untuk menyelaras penggunaan dan penjualan vape.
Dr Konstantinos juga berkata bahawa adalah penting untuk menjadikan
e-rokok sebagai produk yang sah di sisi undang-undang dengan memberi
pilihan kepada perokok yang ingin mengurangkan ketagihan nikotin sebagai
pengganti kepada penggunaan tembakau konvensional.
25 Oktober: Bateri vape terbakar semasa penerbangan
Pada 6.45 petang, bateri vape milik seorang penumpang terbakar secara
tiba-tiba ketika berada dalam penerbangan Malindo Air yang dalam
perjalanan dari Kota Kinabalu ke KLIA2.
Tindakan pantas anak kapal berjaya mengawal kebakaran dan pesawat jenis
Boeing 737-800 terbabit selamat mendarat di KLIA2 pada 8.44 malam.
26 Oktober: Vape dilarang dibawa dalam kabin pesawat
Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengeluarkan kenyataan bahawa penumpang
penerbangan MAB dikehendaki menyimpan rokok elektronik dalam bagasi
bawaan mereka.
"Penggunaan rokok elektronik tidak dibenarkan sama sekali dalam kabin," kata MAB.
29 Oktober: Keputusan timbang pengharaman vape ditentang
Wira Perkasa Malaysia membantah kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S.
Subramaniam yang menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan untuk
mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vapor.
“Mengapa rokok tembakau yang jelas dan nyata membahayakan kesihatan
tidak diharamkan? Adakah kerana hasil penjualan vapor ini tidak memberi
manfaat kepada kerajaan untuk mengutip cukai? Jangan berat sebelah.
Meluluskan rokok tembakau bercukai dan mengharamkan vapor yang ‘bebas
cukai’,” kata Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris dalam satu
kenyataan.
29 Oktober: Menteri cadang pengharaman vape diteliti
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob berkata, beliau akan mencadangkan supaya pengharaman vape
diteliti.
"Insya-ALLAH saya akan beri pandangan saya supaya cadangan tersebut
dikaji dengan teliti supaya vape tidak diharamkan kerana laporan dari
Britain mendapati vape tidak diharamkan malah penghisap rokok digalakkan
bertukar kepada vape," katanya dalam sebuah perkongsian di Facebook.
29 Oktober: CAP dakwa pelajar sekolah guna vape
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Kementerian Kesihatan
mengharamkan vape selepas ia digunakan oleh pelajar sekolah secara
meluas.
Kata Presiden CAP, S.M Mohamed Idris, aduan daripada ibu bapa dan guru
beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang menunjukkan
peningkatan pada jumlah pengguna vape.
30 Oktober: Kerajaan Malaysia tidak haramkan vape
Kabinet Malaysia memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape di kalangan pengguna dan penjual vape.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengesahkan kenyataan tersebut di Facebook.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan putus tidak haramkan vape]
30: Majlis fatwa kaji penggunaan vape
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor
Husin berkata Felo Penyelidik Majlis Fatwa Kebangsaan bersama pakar
kesihatan, ekonomi dan alam sekitar kini sedang menjalankan kajian
tentang vape.
1 November: MBS gesa wujud garis panduan penggunaan vape
Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Datuk Irmohizam Ibrahim meminta
kerajaan mewujudkan garis panduan mengenai penggunaan rokok elektronik
atau vape agar ia tidak disalahguna.
2 November: Mufti berpendapat vape tidak tepati syarak
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata penggunaan vape belum
boleh disifatkan sebagai haram sekiranya kajian menyeluruh berhubung
perkara itu belum dimuktamadkan.
“Benda kalau tak boleh, tak bolehlah, apa faedahnya vape, kalau tidak
merosakkan, tetapi berbelanja atas perkara tidak berfaedah...ia tetap
tidak dibenarkan oleh syarak,” ujarnya ketika ditemui pada Karnival
Ukhuwah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Ipoh.
3 November: Penjualan cecair nikotin tanpa lesen akan dirampas
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata penjualan vape yang
mengandungi cecair itu akan dirampas jika didapati tidak memiliki lesen
untuk menjualnya.
"Kami akan gunakan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983," katanya
pada sidang media mengenai Kempen Makan Secara Sihat bersempena Hari
Deepavali.
7 November: Anak Najib sokong vape tidak diharamkan
Melalui Facebook, anak lelaki Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib
meluahkan memberi sokongan terhadap industri vape dan berharap ia tidak
diharamkan dinegara ini.
8 November: Pengusaha vape bimbang, tertekan
Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia
(Mevta), Allan Foo memberikan reaksi kurang senang terhadap operasi
serbuan yang dijalankan Kementerian Kesihatan ke atas premis vape di
seluruh negara.
Selain itu, pihaknya membuka pintu kerjasama dengan kerajaan dan
berharap kerajaan menyediakan garis panduan berhubung penjualan vape.
8 November: Menteri saran henti serbu peniaga vape
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) menghentikan serbuan ke atas premis menjual
cecair perisa rokok elektronik (vape) buat sementara waktu sehingga
jawatankuasa yang ditubuhkan kementerian itu bagi menyelesaikan isu
berkaitan vape membuat keputusan mereka.
9 November: Hanya ahli farmasi berlesen boleh jual cecair vape
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu
Cecair perisa vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli
farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.
Kata Noor Hisham, ia merupakan keputusan terbaru kementerian dalam usaha mengawal penggunaan dan penjualan Vape di Malaysia.
10 November: Perisa vape campur dadah?
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz
mendakwa terdapat kes yang berlaku di luar negara yang menunjukkan
pengguna vape mencampurkan dadah di dalam cecair vape.
“Perbuatan ini sudah menjadi satu trend di Amerika Syarikat. Jadi bagi
saya lebih baik vape diharamkan sebelum budaya mencampurkan dadah dalam
vape merebak ke negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.
11 November: Dua NGO desak kerajaan teruskan penguatkuasaan
Dua pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Kawalan Tembakau
Malaysia (MCTC) serta Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah
Persekutuan (Jam'iyah) mendesak Kementerian Kesihatan meneruskan
pengkuatkuasaan undang-undang terhadap larangan penjualan vape.
"Apa yang dirisaukan adalah sesiapa sahaja terutamanya pelajar sekolah
dan kanak-kanak bebas membeli cecair vape bernikotin di mana sahaja,"
kata Presiden MCTC, Dr Molly Cheah.
Anggota tetap Jam'iyah, Shaari Ahmad Junid pula memberitahu pihaknya
akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
sekiranya tiada tindakan dilakukan terhadap penjualan vape.
13 November: SAMM, Vapor Malaya desak KKM mohon maaf
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Vapor Malaya (VM) mendesak
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon maaf secara terbuka kepada
komuniti vape di negara ini.
Penyelaras SAMM Rembau, Akmal Noradzmi Abdul Rahim berkata tindakan itu
perlu bagi memulihkan semula imej komuniti vape khususnya yang terlibat
dalam rampasan cecair perisa sejak awal bulan ini.
Akmal Noradzmi juga mendesak KKM memulangkan semula segala barangan
vape yang dirampas dari premis-premis susulan kerajaan masih gagal
menyediakan garis panduan kepada pengusaha.
17 November: Rokok, vape sama berbahaya, kata Tun M
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, vape berbahaya kerana kandungan nikotin yang tinggi dalam produk itu.
"Percayalah, rokok elektronik tidak baik dan sama seperti rokok. Rokok
elektronik menghasilkan bau harum dan berperisa. Apabila anda menghisap rokok,
anda hanya mendapat bau asap. Tetapi apabila anda menghisap rokok elektronik,
anda memperoleh bau yang harum seperti strawberi dan mangga," kata Mahathir.
November 17: KDN pandang serius dakwaan perisa vape mengandungi dadah
Timbalan Menteri KDN, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata KDN memandang
serius dakwaan ada cecair perisa vape yang mengandungi dadah.
"KDN terlibat dengan penguatkuasaan, maknanya kalau ada penggunaan
dadah berbahaya, ia adalah satu aktiviti haram dan KDN ada kuasa untuk
mengambil tindakan," kata Nur Jazlan.
22 November: 20 universiti awam haramkan vape
Sebanyak 20 universiti awam (UA) mengharamkan penggunaan vape di kampus
masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 UA berkenaan yang bermesyuarat pada 20 November lepas.
26 November: Jawatankuasa Fatwa Kedah haramkan vape
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan hukum menghisap vape adalah haram.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hukum
berkenaan diputuskan melalui hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri
Kedah pada 23 November lalu.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju mengekalkan keputusan
mesyuarat 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok disebabkan ia
memudaratkan dan membazirkan.
27 November: Usim larang penggunaan vape di kampus
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) akan menguatkuasakan larangan
penggunaan vape di kawasan kampus bermula 1 Januari tahun hadapan.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad memberitahu garis panduan
larangan penggunaan vape di dalam kampus akan dikeluarkan pada
pertengahan bulan hadapan.
Beliau berkata, pelajar yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib dan denda.
27 November: KKM tunggu bukti kajian vape
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman
memberitahu kementerian sedia menunggu bukti berkenaan melalui hasil
kajian saintifik daripada mana-mana pihak dari dalam dan luar negara.
"Jika (kajian) terbukti benar, bolehlah dipertimbangkan untuk
dimasukkan dalam pindaan undang-undang berkaitan larangan vape," kata
Lokman Hakim kepada media.
29 November: Johor haramkan penggunaan vape
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan
penggunaan vape di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2016.
""Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan," titah baginda.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan haramkan vape di Johor, tutup operasi]
Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang untuk merangka perancangan bagi memudahkan proses tersebut.
30 November: Peniaga vape Johor minta tempoh kembali modal
Peniaga vape di negeri ini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan
larangan penjualan produk itu dan memberi tempoh kepada mereka
mendapatkan kembali modal perniagaan sebelum ia dikuatkuasakan.
"Berilah masa untuk kami mendapatkan kembali modal bagi penjualan vape ini," kata Noor Azlan Nardi.