DUNIA menyaksikan perjalanan 2015 penuh onak dan liku membabitkan kehilangan nyawa, bencana alam, peperangan dan krisis ekonomi global.
Hal ini termasuklah berita mengenai nahas udara yang melibatkan penerbangan beberapa negara dan sesetengahnya melibatkan angka korban yang cukup menyayat hati.
Bagi melabuhkan tirai tahun 2015, kali ini Sinar Online menyenaraikan tujuh laporan nahas udara terburuk dalam catatan sejarah tahun ini.
1) Ahli Parlimen terlibat nahas udara
Pada 4 April lalu, seluruh negara dikejutkan dengan berita nahas udara melibatkan Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis bersama enam penumpang lain.
Nahas yang berlaku di Semenyih, Kajang itu menyebabkan Jamaluddin bersama penumpang dan juruterbang lain terbunuh.
Helikopter peribadi yang dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Subang itu terhempas di sebuah ladang getang Jalan Sungai Lalang dekat Kampung Sungai Pening di Semenyih, Kajang kira-kira jam 4.50 petang pada hari itu.
Antara yang terbunuh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SP Baiduri Sdn Bhd, Datuk Tan Huat Seang, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, juruterbang helikopter Kapten Clifford William Fournier, pembantu juruterbang, Aidana Baizieva, dan pengawal peribadi Jamaluddin Razakan Seran.
2) Isteri Duta Malaysia terbunuh dalam nahas heli
Negara sekali lagi menerima tamparan besar apabila isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud, dilaporkan menjadi antara enam yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas ke atas sebuah sekolah di utara Pakistan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar cedera dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Gilgit.
Nahas tersebut turut mengorbankan duta-duta Besar Norway, Belanda dan Filipina dan isteri Duta Besar Indonesia.
Pada ketika itu, tiada murid di dalam bangunan berkenaan ketika kejadian kerana sekolah itu ditutup.
Berdasarkan maklumat awal, pihak berkuasa berkata dua buah helikopter mendarat dengan selamat manakala pesawat ketiga mengalami masalah teknikal ketika melakukan pendaratan.
Menurut saksi, helikopter berkenaan merempuh bangunan sekolah ketika melakukan pendaratan cemas. Bagaimanapun, punca nahas masih belum diketahui.
Habibah, yang merupakan isteri kepada Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, diberitakan menyertai konvoi tiga helikopter yang membawa delegasi diplomat asing dan bantuan ke Gilgit, Pakistan di wilayah bergolak Kashmir.
Mereka dipercayai dalam perjalanan untuk menghadiri pelancaran projek pelancongan di kawasan berkenaan.
3) Nahas Airbus 321: IS punca tragedi?
Pada akhir Oktober lalu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan nahas penerbangan Rusia #7K9286 yang terhempas di di Semenanjung Sinai, Mesir. Ia merupakan nahas ngeri yang membabitkan kesemua 224 pelancong dan anak kapal pesawat tersebut.
Pesawat Airbus 321 itu hilang dari radar dan terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Mesir sejurus berlepas dari kawasan peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah, yang popular dalam kalangan pelancong Rusia, menuju ke St. Petersburg di Rusia.
Sumber keselamatan Mesir melaporkan, pesawat itu dipercayai musnah sepenuhnya dan kebanyakan penumpang dan krew di dalamnya telah terbunuh.
Dalam pada itu, kumpulan militan IS mendakwa mereka menjatuhkan pesawat itu dengan menggunakan bom buatan tangan.
Mereka kemudiannya menyiarkan paparan video mengenai jenis bom buatan tangan yang digunakan untuk meletupkan pesawat terbabit.
Bagaimanapun perkara tersebut bertentangan dengan kenyataan pegawai keselamatan Mesir, menyatakan nahas udara itu tiada kena mengena dengan serangan.
Pada 17 November lalu, Rusia buat pertama kali mengesahkan insiden pesawat itu berpunca akibat letupan bom yang dipercayai dibawa masuk oleh penumpang.
Ketua perkhidmatan risikan Rusia, FSB, Alexander Bortnikov berkata, perkara tersebut disahkan ekoran penemuan kesan bahan letupan pada serpihan pesawat terbabit.
Penemuan bukti itu juga menjelaskan punca serpihan bertaburan dalam jarak yang jauh disebabkan pesawat tersebut meletup di udara, tambah beliau.
FSB turut menawarkan ganjaran sebanyak AS$50 juta (RM219 juta) kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat tentang pihak yang bertanggungjawab dalam serangan berkenaan.
4) Pesawat bawa RM1.92 juta dijumpai terhempas
Sekitar pertengahan Ogos lalu, sebuah pesawat Indonesia yang membawa 54 penumpang termasuk anak kapal terputus hubungan dengan menara kawalan selepas berlepas pada pukul 2.21 petang dari Jayapura.
Pesawat Trigana Air yang sedang dalam perjalanan menuju ke Oksibil, Papua itu bukan sahaja membawa penumpang, malah turut membawa wang tunai berjumlah Rp6.5 bilion (RM1.92 juta).
Kompas. com memetik Ketua Pejabat Pos Jayapura, FX Haryono sebagai berkata, wang tersebut sepatutnya diagihkan kepada penduduk miskin di kawasan Papua sebagai bayaran ganti rugi ekoran kenaikan harga petrol, baru-baru ini.
Pesawat itu sepatutnya tiba di destinasi pada pukul 3.15 waktu tempatan.
Sehari selepas kehilangannya menjadi tajuk utama berita di kaca televisyen, pesawat malang itu akhirnya dilaporkan ditemui pada jam 8.50 pagi oleh tiga pesawat yang terbang merentasi lokasi nahas
Serpihan pesawat itu dilihat di kawasan tebing pergunungan di daerah Oktabe, Papua, kira-kira 14 kilometer dari Lapangan Terbang Oksibil.
Semua mangsa dilaporkan terkorban. Kebanyakan mayat dilaporkan ditemui dalam keadaan terbakar dan hancur.
5) Mayat tragedi nahas bertaburan di atas tanah
Lagi nahas pada November, sekurang-kurangnya 41 orang disahkan terkorban dalam nahas pesawat kargo selepas berlepas dari lapangan terbang di ibu negara Sudan Selatan.
Menurut laporan portal berita antarabangsa, hanya seorang anak kapal bersama anaknya terselamat dalam nahas terbabit.
Seorang pegawai dipetik sebagai berkata, mangsa yang terkorban berada di dalam pesawat dan bertaburan di atas tanah.
Ketika kejadian, pesawat itu mungkin membawa lebih 20 orang penumpang iaitu 10 anak kapal serta 15 penumpang.
Sejumlah krew di darat juga terbunuh dalam kejadian itu.
Pesawat kargo itu terhempas kira-kira 800 meter dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Juba sebaik berlepas menuju Paloch.
6) Saksi terkejut nampak kipas pesawat masih berpusing dalam laut
Pada 15 November lalu, negara dikejutkan dengan berita kemalangan sebuah pesawat persendirian Piper 32 di Perak.
Pesawat itu terjunam di atas laut kira-kira 100 meter dari Pantai Teluk Dalam, Kampung Tersusun, Pulau Pangkor
Saksi kejadian dilaporkan terkejut melihat pesawat itu berada dalam air dalam keadaan kipas di bahagian hadapannya masih berpusing.
Dalam pada masa yang sama, seorang penumpang wanita juga dilihat berenang keluar dari perut pesawat untuk menyelamatkan diri.
Tiga lagi penumpang termasuk juruterbang lelaki diselamatkan oleh penduduk yang berada berhampiran dengan lokasi kemalangan.
Difahamkan, pesawat itu terjunam dalam laut dan terbalik ketika ingin melakukan pendaratan kecemasan.
Pesawat berkenaan terpaksa membuat pendaratan kecemasan kerana ekor kapal berkenaan tersangkut pada pagar lapangan terbang bagi pelepasan dan pendaratan jarak dekat (STOL) yang terletak berhadapan.
Penumpang wanita dan tiga lagi penumpang dan juruterbang lelaki yang diselamatkan mengalami kecederaan ringan.
7) Hujan punca tragedi
Pada 21 November lalu, enam penumpang dan seorang juruterbang maut apabila helikopter yang mereka naiki terhempas ke dalam lohong glasier di New Zealand.
Helikopter persiaran itu menjunam ke kawasan Fox Glacier, yang merupakan tapak pelancongan popular di pantai barat South Island, dalam keadaan cuaca mendung dan hujan lebat.
Usaha menyelamat hanya bermula beberapa hari selepas nahas berlaku berikutan cuaca yang tidak menentu.
Tragedi itu mengulangi semula peristiwa hitam kira-kira lima tahun yang lalu apabila sembilan termasuk empat penerjun udara terbunuh apabila pesawat yang membawa mereka terhempas selepas berlepas dari lapangan terbang Fox Glacier.
Fox Glacier sepanjang 13 kilometer itu disenaraikan sebagai salah satu daripada glasier yang paling mudah diakses dan menarik beribu-ribu kedatangan pelancong setiap tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan