BALIK PULAU: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di celah batu
di kawasan air terjun Titi Kerawang di Sungai Pinang, di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata mayat lelaki itu
ditemui seorang tukang paip warga Nepal yang sedang melakukan kerja
pemasangan paip di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3.30 petang.
"Lelaki berusia 45 tahun yang sedang menjalankan kerja memasang paip
air di kawasan Bukit Titi Kerawang itu menjumpai satu mayat tidak
dikenal pasti terperosok di bawah batu air terjun.
"Ketika ditemui mayat lelaki itu terapung di permukaan air di celah
batu besar dalam keadaan tubuh badan tidak sempurna dan bengkak,
dipercayai mangsa meninggal sejak tiga atau empat hari lepas," katanya
kepada pemberita.
Katanya polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba dan Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa turun mayat dari atas
bukit itu.
Lai berkata jarak antara kaki bukit ke tempat kejadian adalah lebih
kurang 15 kilometer dan terpaksa melalui jalan bukit kecil serta meredah
hutan tebal berbahaya.
Menurut beliau laluan ke kawasan mayat mangsa ditemui itu hanya boleh
dimasuki menggunakan motosikal separuh jalan sahaja dan perlu berjalan
kaki mendaki dua bukit lagi untuk sampai ke lokasi kejadian.
"Kira-kira 50 pegawai dan anggota dibantu pihak bomba dan JPAM terlibat
dalam operasi membawa turun mayat lelaki berkenaan. Mayat mangsa
berjaya dibawa turun pada pukul 3 pagi tadi," katanya.
Beliau berkata mayat lelaki dipercayai berbangsa Cina berdasarkan warna
kulit itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan